PRN Johor: UMNO sedia bertembung dengan Amanah


 

Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dipelawa bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, parti itu tidak gentar dengan saranan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang mahu Amanah bertanding secara bebas tanpa sebarang rundingan dengan BN.

Beliau yang juga Pengerusi BN Bahagian Tanjung Piai mendakwa Dzulkefly terlalu “obses dengan kerusi” dan lebih menumpukan soal pembahagian kawasan daripada memperjuangkan kepentingan rakyat Johor.

Katanya, sikap Dzulkefly yang menolak sebarang rundingan serta mendakwa kerjasama politik dengan BN akan mengelirukan pengundi jelas menunjukkan sifat tamak dan tidak berprinsip.

“UMNO Johor tidak pernah menghalang Dzulkefly atau Amanah Johor untuk bertanding di mana-mana kerusi yang mereka suka. 

"Jika beliau yakin dengan kekuatan Amanah, silakan bertanding termasuk menentang BN kerana kami sentiasa bersedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Israk turut menyifatkan hanya Dzulkefly yang lantang bersuara mengenai isu agihan kerusi sedangkan tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi Amanah Pusat.

“Dalam keadaan kerajaan negeri sibuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, beliau pula sibuk menuntut kerusi. 

"Ini bukti sikap kemaruk kuasa dan tidak mementingkan rakyat,” katanya sambil menegaskan Johor memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan yang berpolitik sepanjang masa.

Terdahulu, Amanah Johor menyatakan kesediaan untuk bertanding di semua kerusi DUN dan berdepan pertandingan tiga penjuru tanpa bergantung pada rundingan pembahagian kerusi dengan BN.

Dzulkefly menjelaskan bahawa walaupun di peringkat Persekutuan wujud Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, realitinya di Johor kerajaan negeri dibentuk sepenuhnya oleh BN tanpa penglibatan rasmi PH.

Untuk rekod, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini memaklumkan PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027. 

Pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala DAP memperoleh 10, PKR dan Amanah masing-masing satu, sementara Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan