Gerakan Media Merdeka (Geramm) memandang serius insiden melibatkan ugutan dan penghinaan seorang menteri kerajaan Madani terhadap wartawan Utusan Malaysia yang sedang menjalankan tugas, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Katanya, sebagai organisasi yang memperjuangkan kebebasan media dan keselamatan wartawan, Geramm menegaskan bahawa wartawan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bertanya, terutamanya kepada ahli politik dan penjawat awam, bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi kepentingan awam.
Menurut Geramm, soalan wartawan bukan serangan peribadi kerana ia adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang yang menjadi asas kepada demokrasi.
"Wartawan bertanya bagi pihak masyarakat yang berhak tahu, dan bukan untuk memalukan mana-mana pihak.
"Oleh itu, sebarang reaksi marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang sekadar menjalankan tugas adalah tidak beradab dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular video yang disiarkan MalaysiaNow mengenai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempersoalkan tindakan seorang wartawan dari Utusan Malaysia yang bertanya mengapa nama 'I Lite U' digunakan untuk projek pencahayaan di Bukit Bintang sedangkan semuanya dalam bahasa Inggeris.
Kor Ming seolah-olah tidak berpuas hati dengan soalan tersebut dan meminta wartawan berkenaan tidak membesar-besarkan isu itu serta mengugut untuk menelefon editornya.
Geramm menambah, seorang menteri perlu memahami bahawa kebebasan media bukan ancaman, tetapi asas kepada ketelusan pentadbiran.
Katanya, wartawan tidak perlu dipuji, tetapi juga tidak wajar dijadikan sasaran penghinaan hanya kerana bertanya soalan yang sukar.
"Sikap menghina atau mengugut wartawan memberi isyarat buruk kepada masyarakat dan mencipta suasana takut di kalangan pengamal media, yang akhirnya menghakis keberanian untuk bertanya perkara yang benar-benar penting.
"Geramm menyeru semua pemimpin politik dan penjawat awam untuk mengamalkan budaya menghormati media dan bersedia menjawab pertanyaan secara terbuka dan profesional.
"Jika ada ketidakpuasan terhadap cara soalan dikemukakan, ia boleh dijawab dengan hujah atau penjelasan — bukan dengan ugutan, herdikan atau penghinaan," jelasnya.
Geramm berkata, apabila seorang wartawan dihina atau diugut kerana bertanya, mesej yang dihantar adalah bahawa soalan kini dianggap salah.
Katanya, sedangkan bertanya adalah tugas utama wartawan, dan apabila tugas itu disekat, seluruh masyarakat yang akan rugi.
"Geramm menyeru semua pihak — khususnya pemimpin kerajaan — untuk bertenang, beradab, dan menghormati wartawan yang bekerja demi kepentingan awam.
"Kebebasan media bukan musuh kepada kerajaan yang baik. Ia adalah cermin yang membantu memperbaiki dan mengingatkan.
“Wartawan bertanya bukan kerana mahu mencari salah, tetapi kerana rakyat berhak tahu," katanya.

 
 
 
 
 
 
 
0 Ulasan