Ketua PKR Cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan menegur tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa menegur wartawan Utusan Malaysia dengan nada keras dalam sidang media pra-pelancaran projek pencahayaan bandar I LITE U pada 29 Oktober lalu.
Beliau berkata, gaya kepimpinan yang bersifat angkuh dan cuba menekan media tidak sepatutnya wujud dalam kerajaan yang mendakwa menjunjung prinsip reformasi serta menghormati suara rakyat.
“Sebagai Ketua Cabang Setiawangsa, saya tidak bersetuju dengan gaya kepimpinan yang menunjukkan arogansi, membentak wartawan atau cuba menekan media. Ini bukan soal peribadi, ini soal prinsip,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Dalam video yang tular, Kor Ming dilihat mempersoalkan soalan wartawan berhubung penggunaan bahasa Inggeris sebagai tema program berkenaan, sebelum menyatakan akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu.
Tindakan tersebut mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan media yang menyifatkannya sebagai tekanan terhadap kebebasan media.
Afdlin Shauki menegaskan, tindakan membentak wartawan, mengugut mahu ‘telefon bos awak’ atau mempersenda soalan yang dikemukakan akan menjejaskan imej kerajaan dan menimbulkan persepsi bahawa pemimpin mula mengulangi kesilapan lampau.
“Kalau hari ini ada pemimpin dalam kerajaan perpaduan yang mula menunjukkan perangai yang sama, marah bila disoal, merendahkan wartawan, mengugut akan ‘telefon bos awak’, maka kita sedang mengulangi kesilapan yang sama yang kita sendiri pernah kutuk.
“Dan kalau itu berlaku, rakyat akan mula hilang keyakinan terhadap kerajaan ini. Ini bahaya, bukan hanya untuk individu tertentu, tetapi untuk keseluruhan perjuangan kita,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan hari ini dijanjikan kepada rakyat sebagai kerajaan beradab dan berhemah yang mengutamakan politik matang, telus serta menghormati peranan media sebagai suara rakyat.
“Kerajaan ini dijual kepada rakyat sebagai kerajaan adab, kerajaan berhemah, kerajaan reformasi. Kita janjikan politik yang matang, jelas, telus dan menghormati rakyat.
"Dan wartawan ialah sebahagian daripada rakyat. Mereka bertanya bagi pihak orang ramai,” katanya.
Menurutnya, seorang menteri bercakap bukan atas kapasiti individu tetapi membawa nama keseluruhan kerajaan, justeru sebarang nada sombong atau ugutan akan mencemar imej pentadbiran.
“Setiap ugutan akan dianggap ugutan kerajaan. Ini bukan benda kecil,” tegasnya.
Beliau turut menggesa mana-mana menteri yang terlibat supaya tampil memohon maaf secara terbuka kepada wartawan berkenaan dan kepada rakan-rakan media.
“Permohonan maaf bukan kelemahan, ia tanda kematangan politik dan rasa hormat kepada rakyat.
"Lebih penting lagi, saya mahu komitmen jelas bahawa budaya ‘telefon editor untuk tekan wartawan’ tidak akan menjadi norma baharu dalam kerajaan ini,” katanya.
Afdlin Shauki berkata, kerajaan tidak boleh menormalisasikan budaya membuli wartawan kerana ia bertentangan dengan prinsip reformasi yang menjadi asas perjuangan Kerajaan Perpaduan.
“Kalau kerajaan lama buat begitu, kita marah. Kalau kita sendiri mula buat begitu, kita sudah hilang hak moral untuk bercakap tentang reformasi. Ini bukan isu kaum, bukan isu parti. Ini isu akhlak kuasa.
“Saya tegur kerana saya sayang perjuangan ini. Kita mesti jadi kerajaan yang benar-benar berbeza, bukan sekadar tukar nama dan tukar logo.
"Rakyat sedang memerhati. Kuasa ialah amanah rakyat. Kuasa bukan lesen untuk memalukan wartawan di depan kamera. Jika kita mahu dihormati, kita mesti terlebih dahulu menunjukkan hormat,” katanya.

0 Ulasan