Puad suruh Hanipa masuk kumpulan HIRUK bersama Rafizi

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Hanipa Maidin yang mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu dan menangkap ahli perniagaan, Albert Tei sebagai mengulang gaya lama Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, dakwaan Hanipa itu tidak berasas kerana ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH 1.0), SPRM juga berdepan pelbagai kontroversi.  

“Saya nak tanya Hanipa, apakah cara SPRM zaman dia menjadi Timbalan Menteri Undang-Undang (Kerajaan PH 1.0) adalah lebih baik? 

"Bagus sangatkah Latheefa Koya jadi Ketua Pesuruhjaya SPRM? Tidakkah SPRM tercemar kerana orang politik yang tidak lahir dalam SPRM dilantik jadi bos SPRM? Pernahkah BN buat begitu?” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Puad menegaskan, ketika Hanipa memegang jawatan Timbalan Menteri Undang-Undang, beberapa tokoh politik BN seperti Datuk Seri Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad didakwa kerana isu dana 1MDB.  

“Tetapi Menteri kamu masa itu, Datuk Liew Vui Keong dan juga Mas Ermieyati tidak didakwa pula,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa PH pernah mengkritik bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana menari secara spontan dengan iringan lagu tradisional selepas Majlis Perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan.  

“Tetapi Hanipa mempertahankan pula tindakan Menteri Undang-Undang PH 1.0, Datuk Liew Vui Keong, Tommy Thomas, Richard Malanjum dan Siti Kassim menari di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2019,” katanya.

Puad juga mengimbas kembali insiden di Dewan Rakyat apabila Hanipa ditegur banyak pihak termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung kenyataannya terhadap Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.  

“Kalau saya tuhan, dari awal saya tidak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Lama saya hapuskan kamu,” kata Hanipa ketika itu, seperti dilaporkan portal berita Astro Awani.

Puad menambah, kenyataan sedemikian jelas menunjukkan sikap Hanipa yang berbeza apabila berdepan dengan pemimpin tertentu.  

“Sudah tentu Hanipa tidak berani kata perkara yang sama terhadap PMX. Lebih baik Hanipa masuk kumpulan HIRUK Rafizi (Himpunan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa). 

"Masa tidak ada kuasa bolehlah cakap apa saja. Bila berkuasa semuanya ke laut,” tegasnya.  

BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan