SPRM serbu rumah Albert Tei seperti macam zaman BN dulu - Hanipa

 


Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin menyelar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu kediaman ahli perniagaan Albert Tei, meskipun peguamnya telah menetapkan tarikh untuk merakam kenyataan.  

Beliau berkata, walaupun peguam Albert, Mahajoth Singh, menjelaskan pegawai SPRM hadir dengan waran, tindakan itu tetap dianggap sebagai “pencerobohan tidak wajar” kerana persetujuan telah dibuat untuk Albert hadir memberi keterangan pada Isnin ini.  

“Isu yang dipersoalkan bukan kuasa penyiasatan SPRM, tetapi keperluan dan kewajaran pendekatan sedemikian.  

“Tiada siapa mempertikaikan kuasa SPRM menyiasat rasuah. Persoalannya: adakah perlu menggunakan taktik keras sebegini, sedangkan tarikh untuk merakam kenyataan sudah ditetapkan?” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Pemimpin Amanah itu turut menyoal justifikasi serbuan terhadap individu yang tidak menimbulkan ancaman keselamatan.  

“Adakah Albert ini pengganas tegar sampai perlu diserbu sebegitu rupa?” katanya lagi.  

Semalam, SPRM menahan Albert selepas kediamannya di Puchong, Selangor diserbu oleh sekumpulan pegawai lengkap dengan peralatan taktikal termasuk jaket kalis peluru dan penutup muka. 

Mereka menggari Albert sebelum membawanya ke sebuah kenderaan hitam tanpa nombor pendaftaran.  

Mengulas lanjut, Hanipa yang juga bekas Ahli Parlimen Sepang berkata tindakan itu mengingatkannya kepada amalan era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu apabila serbuan agresif terhadap tokoh politik dianggap perkara biasa.  

“Saya pernah mewakili tokoh seperti Datuk Seri Mohamad Sabu pada masa lalu. Taktik begini lumrah pada zaman BN. Tak sangka ia berulang ketika negara ditadbir kerajaan Harapan.

“Malangnya, ia berlaku lagi dalam era Madani,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan