Annuar Musa jangan membuyuk bah - Puad

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah, Tan Sri Annuar Musa, sebagai “membuyuk” (menipu) ketika berkempen di Tawau, Sabah baru-baru ini.

Menurut Mohd Puad, Annuar mendakwa Barisan Nasional (BN) sangat bagus ketika beliau menjadi Menteri Luar Bandar dan sering turun ke Sabah.

“Dia mendabik dada sering ke Sabah masa jadi Menteri. Semua ceruk dia sampai macam Kampung Suka Menanti dan Kampung Baru Jumpa. Saya mahu tanya, pernahkah dia sampai Kuala Salong, Tinanduk, Logongon, Pensiangan, Sibangali, Salinatan dan Saliliran?” katanya.

Mohd Puad berkata, Annuar mendakwa BN hanya bagus sehingga tahun 2022, iaitu ketika beliau menjadi Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, tetapi tidak lagi selepas dipecat daripada UMNO pada 2023.

“Semasa kempen itu, Annuar dakwa negara ini mesti dipimpin oleh orang Islam. Beranikah Annuar bercakap begitu di Sook, di Tamparuli, Malalap dan Nabawan? Begitulah hipokrasi Annuar Musa,” ujar beliau.

Beliau turut menempelak kenyataan Annuar bahawa politik Sabah tidak stabil sebelum UMNO dibawa masuk.

“Siapa yang buat politik Sabah kembali kucar-kacir? Sudah tentu Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tubuh Bersatu. Dialah yang mencuri ADUN UMNO melompat ke Bersatu,” katanya.

Mohd Puad menambah, Annuar sendiri mendedahkan bahawa Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan secara tergesa-gesa untuk menyertai PRN Sabah.

“Logo pun tidak ada,” kata Annuar seperti dipetik Mohd Puad.

Beliau menegaskan, kekalutan politik negara dari Perlis hingga ke Sabah berpunca daripada Muhyiddin Yassin.

“Jangan lupa Sheraton Move. Jangan lupa kerajaan tebuk atap. Jangan lupa Muhyiddin tolak kerajaan perpaduan kerana obses mahu jadi Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas dakwaan Annuar bahawa UMNO membawa lari 30 Ahli Parlimen untuk menyokong Kerajaan Perpaduan, Mohd Puad menegaskan UMNO akur kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Kenapa UMNO mesti ikut Muhyiddin yang derhaka nasihat Yang di-Pertuan Agong? Dia umum Datuk Seri Hajiji Noor jadi Ketua Menteri tanpa berbincang dengan UMNO,” katanya.

Mohd Puad turut menyifatkan Muafakat Nasional (MN) pecah kerana PAS yang disertai Annuar.

“PAS main dua lawang. Sekarang Annuar ketua MN yang jadi NGO. Apakah MN NGO berjaya menyatu-padukan ummah?” katanya.

Beliau menegaskan, Annuar dipecat kerana menjadi “duri dalam daging” yang tidak patuh kepada keputusan parti.

“Perangai itulah yang memecah belahkan parti. PN akan terus bergolak. Bersatu sendiri pecah antara Muhyiddin-Hamzah. Macam mana mahu ‘Bagi Sabah Bagus’?” katanya.

Mohd Puad menutup kenyataannya dengan mengingatkan sikap rakyat Sabah terhadap Annuar.

“Orang Sabah selalu bilang, ‘jangan membuyuk bah’. ‘Kadapatan sudah’ (rahsia kamu terbongkar),” katanya.

 

 BACA LAGI









Catat Ulasan

0 Ulasan