Henti ganggu penyaluran royalti Petroleum Terengganu - PAS

 

Gambar hiasan: Gemini


PAS Terengganu menggesa Kerajaan Persekutuan menghentikan segera segala bentuk gangguan dan campur tangan terhadap penyaluran royalti petroleum yang disifatkan sebagai hak mutlak kerajaan negeri dan rakyat Terengganu.

Pesuruhjayanya, Datuk Husain Awang berkata, isu penyelewengan dan kelewatan penyaluran royalti kepada negeri itu bukan perkara baharu, malah berulang setiap tahun sehingga kini.

“Hari ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan bahawa bagi 2024, hanya sebanyak RM733 juta daripada jumlah sebenar RM1.553 bilion royalti petroleum telah dimasukkan ke dalam akaun rasmi kerajaan negeri. Sementara itu, baki sebanyak RM820 juta lagi tidak disalurkan terus ke akaun negeri.

“Bagi tahun ini pula sehingga 2 November 2025, hanya RM583 juta daripada RM1.08 bilion royalti dimasukkan dalam akaun Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keadaan tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa separuh daripada hasil royalti petroleum milik negeri telah dinafikan haknya untuk diurus oleh Kerajaan Negeri sendiri.

“Kecurangan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak  2023 lagi, penyaluran royalti petroleum kepada Terengganu sering kali diseleweng daripada saluran asal dan malangnya keadaan tersebut masih berulang hingga ke tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi semangat federalisme yang adil, malah memperlihatkan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk berlaku matang dan menghormati autonomi kewangan negeri sebagaimana termaktub dalam sistem persekutuan Malaysia.

“Situasi ini amat dikesali kerana ia memberi kesan langsung kepada momentum kemajuan negeri yang kini berada di landasan terbaik dalam sejarah moden Terengganu dan tidak pernah berlaku dalam pentadbiran UMNO sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, sepanjang pentadbiran PAS, negeri itu mencatatkan hasil negeri tertinggi kira-kira RM293 juta, pelaburan terbesar berjumlah RM21.9 bilion dari tahun 2018 hingga 2025 serta diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.

“Pada masa yang sama, Terengganu turut menunjukkan potensi luar biasa dalam pemilikan sumber bumi seperti unsur nadir bumi (REE) serta sektor tenaga baharu dan boleh diperbaharui

"Kejayaan-kejayaan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi bukti nyata bahawa pentadbiran PAS di Terengganu mampu mentadbir dengan cekap, berintegriti dan berpaksikan kebajikan rakyat,” jelasnya.

Husain menegaskan bahawa sebarang sekatan atau gangguan terhadap hak kewangan negeri merupakan satu bentuk kezaliman yang mencabul hak rakyat serta menafikan prinsip keadilan fiskal dalam sistem federalisme negara.

“PAS Terengganu juga ingin menyeru agar rakyat di negeri-negeri lain, khususnya di Sabah, mengambil pengajaran daripada apa yang sedang berlaku di Terengganu. 

"Jangan mudah terpedaya dengan kempen dan janji manis blok PH-BN menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah nanti. Hakikatnya, apa yang berlaku kepada Terengganu adalah contoh jelas pengkhianatan janji. 

"Bukan sahaja janji 20 peratus royalti petroleum tidak ditepati, malah lima peratus yang tercatat kemas dalam akta dan perjanjian pun dibahagi dua,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan