Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin telah membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei pada pukul 5.05 petang hari ini.
Beliau menjelaskan, laporan itu adalah berhubung tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
Shamsul Iskandar berkata, tuduhan fitnah itu jelas konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi pada musim Pilihan Raya Negeri Sabah.
"Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri.
"Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hari ini, Anwar menegaskan, SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera berhubung tuduhan rasuah terhadap Shamsul Iskandar.
Beliau berkata, SPRM bebas bertindak tanpa sebarang campur tangan luar.
Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dan mendakwa ada percubaan untuk menyerangnya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

0 Ulasan