Puad kesal tajuk berita Utusan hina Najib

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tajuk berita Utusan Malaysia semalam yang disifatkannya sebagai "amat menghina" berhubung titah adendum pengampunan piraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau merujuk kepada tajuk berita berbunyi, "Titah Adendum: Najib sudah tua, keputusan dicepatkan ke 22 Dis" dan menuntut penjelasan daripada akhbar tersebut.

"Kenapa Utusan Malaysia buat tajuk begitu? Apakah Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang kata begitu apabila dihubungi media? Tajuk itu amat menghina," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd. Puad turut membangkitkan sama ada tajuk berita tersebut didorong oleh pihak tertentu.

"Apakah ada orang atas baik dalam kerajaan atau Utusan sendiri yang arah buat tajuk berita menghina itu," katanya sinis.

Beliau turut mempersoal mengenai faktor usia sebagai alasan, memandangkan titah adendum tersebut telah dititahkan sejak 29 Januari 2024.

"Kalau faktor tua, kenapa tangguhkan titah adendum terlalu lama. Kenapa Utusan tidak ulas perkara itu? Titah adendum sudah dititahkan sejak 29 Januari 2024 lagi," tegasnya.

Mohd Puad turut mempersoalkan mengapa Utusan Malaysia tidak menyentuh tindakan Pejabat Peguam Negara.

"Kenapa Utusan tidak persoalkan tindakan pejabat Peguam Negara merayu ke Mahkamah Persekutuan termasuk permohonan gag order? Hampir dua tahun masa terbuang," katanya.

Beliau menegaskan bahawa Najib tidak pernah mengeluh mengenai faktor usia, sebaliknya beliau berjuang menuntut keadilan.

"Najib tidak pernah merungut pasal faktor tua. Dia berjuang menuntut keadilan walaupun seperti dimain-mainkan. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri melakukan kamikaze kerana buat afidavit. Apa motif Utusan. Siapa suruh?" katanya.

 BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan