Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa kerajaan supaya tidak lagi menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang kini memasuki kali keempat.
Beliau menegaskan, keputusan itu akan menjadi kayu ukur utama terhadap komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam melawan rasuah serta menentukan kredibiliti Pakatan Harapan (PH) dan PKR selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Walau apa pun keputusan Perdana Menteri mengenai perkara ini, beliau tidak boleh lari dari hakikat bahawa pandangan rakyat mengenai komitmen beliau melawan rasuah bergantung kepada keputusan beliau menyambung perkhidmatan Tan Sri Azam Baki.
Bukan untuk dua kali. Bukan tiga kali. Tetapi empat kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi menambah, jika kontrak itu disambung lagi, ia akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.
“Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau, sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi,” tegasnya.
Menurut Rafizi, kekalahan PH di Sabah adalah isyarat jelas bahawa rakyat kecewa dengan prestasi reformasi dan pembaharuan, khususnya dalam usaha membersihkan negara daripada rasuah.
“Kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas dari rasuah. Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH, yang rata-ratanya dari golongan kelas menengah,” ujarnya.
Beliau berkata, data kaji selidik sejak 2024 menunjukkan kebimbangan rakyat mengenai prestasi mencegah rasuah kekal menjadi kritikan utama terhadap kerajaan.
“Lebih-lebih lagi kerana di sebalik ucapan-ucapan dan berita mengenai usaha mencegah rasuah, perubahan itu tidak dirasakan dengan cepat,” katanya.
Rafizi turut merujuk kepada statistik kes rasuah yang berakhir dengan hukuman, apabila peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan dibuka menurun daripada 56 peratus pada tahun 2020 kepada 39 peratus pada 2024.
Katanya, sabitan bersalah juga merosot daripada 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan berakhir dengan sabitan pada 2021, kepada hanya 256 sabitan atau 22 peratus pada 2024.
“Tambahan pula, ada kes-kes berprofil besar yang berakhir dengan DNAA, atau kes digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun,” jelasnya.
Rafizi menegaskan langkah awal yang perlu dilakukan PH selepas kekalahan di Sabah ialah membina semula kredibiliti melawan rasuah dengan melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
BACA LAGI“Kalau saya seorang yang mendesak, Perdana Menteri tidak akan dengar. Lebih baik jika Nurul Izzah juga desak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga desak secara terbuka. Barulah kredibiliti lawan rasuah PH dan PKR dapat dibaiki sedikit demi sedikit,” katanya.

0 Ulasan