Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam konteks pembentukan kerajaan negeri wajar dilihat dari sudut kepentingan rakyat, kata Exco Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Beliau menegaskan Sabah pernah melalui fasa ketidakstabilan panjang dengan kerajaan bertukar dalam tempoh singkat, budaya lompat parti yang berterusan serta perebutan kuasa sehingga akhirnya rakyat menjadi mangsa keadaan.
“Maka, mana-mana kerjasama yang mampu membawa kembali kestabilan dan kesinambungan pentadbiran adalah sesuatu yang perlu dinilai dengan akal bukan emosi,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Nurulhidayah berkata kerjasama antara BN dan GRS tidak bermakna hilangnya identiti atau prinsip mana-mana pihak, sebaliknya ia adalah bentuk kesepakatan politik lebih matang di mana kedua-dua blok berfungsi sebagai pelengkap dalam mentadbir negeri.
“BN hadir dengan pengalaman panjang serta kekuatan akar umbi yang terbina sejak berdekad, manakala GRS pula membawa dinamika politik dengan keupayaan mengurus isu kontemporari Sabah,” ujarnya.
Beliau menambah gabungan itu, jika dibina atas dasar saling menghormati, boleh mewujudkan imbangan kuasa sihat untuk memastikan setiap keputusan kerajaan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kepentingan kelompok tertentu.
“Dalam masa yang sama, kerjasama ini juga secara tidak langsung dapat meredakan sentimen sempit yang dimainkan sewaktu PRN Sabah, seperti slogan ‘Sabah for Sabahan’. Realitinya, kedua-dua blok politik ini dipimpin oleh anak Sabah sendiri, mempunyai rekod khidmat kepada rakyat Sabah, dan sama-sama memahami denyut nadi negeri ini,” katanya.
Nurulhidayah menegaskan adalah tidak wajar untuk terus memecahkan rakyat kepada garis pemisah politik yang tidak membawa manfaat jangka panjang.
“Sabah memerlukan pemimpin yang bersatu hati, bukan bersaing siapa yang lebih Sabah atau siapa yang lebih layak mengaku pejuang rakyat. Apa yang lebih penting ialah keupayaan untuk menyelesaikan masalah air, elektrik, kemiskinan, pendidikan, keselamatan dan pembangunan luar bandar dengan isu-isu jelas yang menuntut kerjasama, bukan pertelingkahan,” katanya.
Beliau menambah kerjasama BN dan GRS harus dinilai sebagai langkah menghormati mandat rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan stabil, pragmatik dan mampu bekerja seawal hari pertama.
“Rakyat sudah penat dengan drama politik, dan mereka tidak lagi mahu melihat pemimpin bergaduh sesama sendiri sedangkan keperluan masyarakat tetap terabai,” katanya.
Menurut beliau, pembentukan kerajaan inklusif, seimbang dan berpaksikan kepentingan negeri adalah jalan terbaik untuk mengembalikan keyakinan rakyat serta memacu masa depan Sabah yang lebih teratur.
“Akhirnya, masa depan Sabah tidak boleh dibina oleh satu parti sahaja. Ia perlu dibentuk melalui gabungan idea, pengalaman dan semangat kental pelbagai pihak. Jika BN dan GRS mampu duduk bersama atas dasar kesepakatan yang ikhlas, maka ia bukan sahaja membuka ruang baharu kepada politik yang lebih matang, tetapi juga memberi sinar baharu kepada harapan jutaan rakyat Sabah. Inilah masa untuk memilih kestabilan dan perpaduan, kerana hanya dengan kerajaan yang kuat dan bersatu, Sabah dapat melangkah lebih jauh menuju pembinaan sebuah negeri yang makmur, inklusif dan berdaya saing,” katanya.

0 Ulasan