PEKIDA kecewa suspek kes spa songsang dibebas beramai-ramai


Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) menzahirkan rasa kecewa serta kebimbangan serius terhadap isu spa songsang di Chow Kit, Kuala Lumpur yang melibatkan serbuan ke atas lebih 200 individu, termasuk 171 rakyat Malaysia yang akhirnya dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman pihak berkuasa.

Timbalan Presiden PEKIDA, Datuk Abdul Rashid Zainullah, berkata pembebasan beramai-ramai itu jelas menunjukkan kelemahan nyata dalam sistem perundangan negara.

“Pembebasan beramai-ramai ini bukan sekadar satu episod teknikal, namun merupakan gambaran kepada realiti bahawa Malaysia masih belum mempunyai undang-undang yang benar-benar tegas, khusus dan berkesan untuk mengawal serta membanteras aktiviti seks songsang yang bertentangan dengan nilai agama, moral, budaya dan norma masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Rashid menegaskan, situasi “tiada mangsa, tiada kes” yang sering dijadikan alasan dalam kes sebegini telah menjadikan undang-undang sedia ada tidak mampu berfungsi, sekali gus membuka ruang luas untuk kegiatan songsang beroperasi tanpa takut kepada tindakan undang-undang.

“Kerajaan perlu segera menggubal undang-undang baharu atau meminda akta sedia ada bagi meletakkan apa jua bentuk aktiviti seks songsang dan luar tabii sebagai satu jenayah berat, tanpa memerlukan syarat pengakuan mangsa atau apa-apa halangan teknikal yang memungkinkan pelaku terlepas daripada tindakan,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa premis spa, sauna dan pusat urut yang menyalahgunakan lesen untuk aktiviti melampaui batas mesti berdepan tindakan tegas melalui pembatalan lesen, penyitaan aset dan pendakwaan ke atas pemilik serta operatornya.

“Kewujudan pusat-pusat sebegini bukan sahaja mencemar nama industri kesihatan, malah menjadi punca kepada budaya songsang yang semakin berani beroperasi di tengah-tengah bandar besar,” katanya.

Beliau menambah, usaha itu tidak boleh dilihat sebagai tindakan menghukum semata-mata, tetapi sebagai langkah mempertahankan sistem nilai agama dan budaya negara.

“Malaysia adalah negara yang berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, dan nilai moral masyarakat mestilah dipelihara agar generasi akan datang tidak dibiarkan hanyut dalam budaya luar yang merosakkan akhlak, kesihatan mental, institusi keluarga dan keselamatan sosial,” ujarnya.

Abdul Rashid menegaskan komitmen penuh PEKIDA Malaysia untuk berdiri bersama pihak berkuasa, badan agama dan masyarakat sivil dalam mempertahankan kesucian nilai, maruah serta akidah umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Kami menyeru kerajaan untuk tidak menangguhkan lagi penggubalan undang-undang yang lebih tegas, lebih jelas dan lebih berkesan demi menjaga masa depan negara. Kelemahan undang-undang pada hari ini akan mengundang kerosakan besar pada masa hadapan, dan tindakan segera adalah satu kewajipan moral serta tanggungjawab nasional,” katanya.

BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan