Amanah tuntut kerusi BN pada PRN Melaka & Johor

 

Amanah mahu rundingan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, landskap politik semasa di Melaka dan Johor menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang BN susulan PRN terdahulu.

“Jika PRN Melaka dan Johor diadakan, sebagai usaha bersama dalam Kerajaan Perpaduan, rundingan kerusi mesti dilaksanakan dengan adil dan saksama untuk semua parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ibu Pejabat KADA di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata, pendekatan keutamaan kepada penyandang tidak lagi wajar diguna pakai kerana ia boleh menjejaskan keadilan kepada parti lain, khususnya dalam kalangan komponen PH.

“Kami berharap UMNO dan BN bersikap terbuka untuk menyerahkan sebahagian kerusi yang disandang kepada rakan dalam kerajaan,” katanya.

Khalid berkata, sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan, Amanah tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan sama ada untuk kekal menyokong pendekatan sedia ada atau menguji sokongan rakyat melalui pertandingan tiga penjuru.

“Keputusan kami bergantung kepada pendirian UMNO dan BN. Bila mereka nyatakan pendirian dengan jelas, barulah kami tentukan langkah seterusnya,” katanya. 

Pada PRN Melaka 2021, Amanah hanya memenangi 1 kerusi dan DAP pula 4 kerusi manakala BN kini menyandang 21 kerusi.

PRN Johor 2022 pula, Amanah hanya memenangi 1kerusi, PKR 1 kerusi dan DAP 10 kerusi manakala BN menang 40 kerusi.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan