Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menempelak Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang memberi amaran kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka dan Johor.
Beliau membayangkan, BN enggan menyerahkan mana-mana kerusi yang disandang serta bersedia untuk bertembung dengan PH.
"Tidak perlu acah-acah nak bagi amaranlah. Ingat kami ni apa nak bagi amaran bagai.
"Lawan je lah, sembang apa," katanya yang juga ADUN Merlimau dalam hantaran Facebook semalam.
Semalam, Khalid meminta rundingan agihan kerusi bagi PRN Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara PH dan BN.
Beliau berkata, pendekatan keutamaan kepada penyandang tidak lagi wajar diguna pakai kerana ia boleh menjejaskan keadilan kepada parti lain, khususnya dalam kalangan komponen PH.
Khalid juga berharap UMNO dan BN bersikap terbuka untuk menyerahkan sebahagian kerusi yang disandang kepada rakan dalam kerajaan.
Beliau yang kalah pada PRU15 berkata, sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan, Amanah tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan sama ada untuk kekal menyokong pendekatan sedia ada atau menguji sokongan rakyat melalui pertandingan tiga penjuru.
Pada PRN Melaka 2021, Amanah hanya memenangi 1 kerusi dan DAP pula 4 kerusi manakala BN kini menyandang 21 kerusi.
PRN Johor 2022 pula, Amanah hanya memenangi 1kerusi, PKR 1 kerusi dan DAP 10 kerusi manakala BN menang 40 kerusi.

0 Ulasan