SARA bulanan bermula 9 Januari, STR mulai 20 Januari

 

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan akan mula disalurkan kepada penerima bermula 9 Januari ini, manakala bantuan sekali bayar SARA untuk Semua sebanyak RM100 akan diagihkan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada 9 Februari depan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, penyaluran SARA Bulanan bagi tahun ini akan melibatkan seramai 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion, berbanding 5.4 juta penerima dan RM5 bilion pada tahun lalu.

“Penyaluran SARA Bulanan 2026 akan bermula pada 9 Januari 2026 untuk 5 juta penerima yang terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari 2026. 

"Penerima SARA bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kewangan memaklumkan, prestasi perbelanjaan SARA Bulanan 2025 mencatatkan hampir 100 peratus penggunaan oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar.

Bagi memperluas capaian program, sasaran kedai kecil yang terlibat dalam SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini, berbanding lebih 3,000 pada akhir 2025, melengkapi cawangan pasar raya sedia ada.

Dalam pada itu, bantuan SARA untuk Semua yang diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan akan diteruskan dengan pemberian kredit RM100 secara sekali kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan.

“YAB Datuk Seri Anwar juga mengumumkan hari ini bantuan SARA untuk Semua sebanyak RM100 secara one-off akan disalurkan pada 9 Februari 2026 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bagi manfaat persiapan perayaan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata, SARA untuk Semua 2025 telah mencatatkan penggunaan oleh 21.2 juta rakyat, iaitu 96 peratus penerima, dengan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.

Seperti yang dijanjikan, baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan sekitar RM150 juta akan disalurkan semula bagi menjamin kemaslahatan golongan rentan.

“Antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan untuk pelajar OKU dan keperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk golongan rentan serta inisiatif Dapur SISWA untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan penyaluran Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 bermula 20 Januari ini, melibatkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

“Penerima akan menerima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan