RUU had tempoh jawatan PM 2 penggal ke Parlimen tahun ini

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa rang undang-undang (RUU) bagi menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibawa ke Parlimen tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, beberapa lagi RUU akan turut dibentangkan dalam sidang Parlimen tahun ini, termasuk RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, RUU Ombudsman serta Akta Kebebasan Maklumat (FoI).

Katanya, kesemua RUU tersebut merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi yang melibatkan Parlimen, Kementerian Kewangan, sektor penjawat awam dan sistem perundangan negara.

“Ini undang-undang baharu yang kita akan bentang di Parlimen pada tahun ini bermula sidang Januari depan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut mengenai RUU Ombudsman, Anwar menjelaskan bahawa ia bertujuan membuka ruang kepada rakyat untuk menyuarakan sebarang isu berkaitan penjawat awam, termasuk terhadap Perdana Menteri sendiri yang boleh dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan.

Berkenaan Akta Kebebasan Maklumat, beliau mengakui terdapat kebimbangan dalam kalangan pihak tertentu sekiranya akta itu diluluskan.

Namun, katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa akta tersebut akan mempunyai pengecualian bagi perkara yang menyentuh keselamatan negara seperti maklumat risikan.

“Tetapi akta ini terpakai bagi isu lain seperti tender, kontrak projek dan sebagainya bagi mengelakkan salah guna kuasa,” katanya.







Catat Ulasan

0 Ulasan