Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan insiden merempit oleh sekumpulan individu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baru sebagai sangat memalukan.
Beliau telah mengarahkan Pengarah Penguat Kuasa JPJ untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan tersebut.
"Sesiapa yang berani merempit di depan lapangan terbang akan disita terus motosikal mereka.
"Saya juga telah meminta pihak pengurusan MAHB untuk memperketatkan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal untuk membendung gejala ini," katanya dalam hantaran Facebook pada 6 April 2026.
Anthony berkata, kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaik taraf lapangan terbang tersebut bagi memastikan konektiviti udara yang lebih baik untuk Kelantan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi rakyat Kelantan serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri tersebut.
Katanya, kelakuan golongan mat rempit di depan balai perlepasan terminal baharu tersebut bukan sahaja membahayakan nyawa orang ramai yang menggunakan lapangan terbang itu malah boleh dikatakan sebagai tindakan sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri.

0 Ulasan