UMNO hanya pak turut dalam Kerajaan Madani - Pemuda PAS

 

Kerajaan Madani sedang berdepan dengan krisis keyakinan disebabkan lambakan isu integriti yang makin membarah dan rakyat sedang hadapi tekanan kos hidup yang semakin mencengkam, terutamanya selepas kenaikan mendadak harga runcit petrol dan diesel yang naik berlipatkali ganda mula terasa impaknya.

Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS, Mohamad Kamal Mohamed berkata, dalam keadaan ini, UMNO juga hanya sekadar berdiam diri seolah-olah cuba bersembunyi di sebalik tekanan rakyat yang kian memuncak. 

Menurut beliau, tiada jalan keluar dan penyelesaian tuntas dikemukakan dan UMNO sekadar menjadi pak angguk dan pak turut dalam kerajaan.

"UMNO sebelum ini mendakwa penyertaan mereka dalam Kerajaan Perpaduan untuk peranan yang 'unik dan strategik' serta untuk menjamin kestabilan politik negara. 

"Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada yang unik dan strategik ditampilkan ketika negara berhadapan dengan dorongan krisis global," katanya dalam kenyataan media pada 8 April 2026.

Mohamad Kamal mempersoalkan sama ada peranan unik dan strategik itu hanya untuk memastikan kepentingan UMNO dalam politik nasional terus terjamin semata-mata.

Bahkan katanya, kemasukan individu tertentu dalam parti itu semula gagal mengubah naratif yang cuba dimainkan oleh UMNO dalam kerajaan Madani. 

Beliau berkata, UMNO hanya lebih rancak menyalahkan pembangkang walhal kuasa di tangan mereka dibazirkan untuk kepentingan tertentu.

"UMNO tidak lagi boleh diharapkan sama ada untuk membela kebajikan rakyat,  apatah lagi membawa aspirasi masyarakat Melayu-Islam. 

"Segalanya sudah berkubur dalam UMNO, kenyang dengan jawatan dan kuasa yang tidak membawa apa-apa kebaikan," katanya.

Mohamad Kamal berkata, tindakan UMNO yang berdiam diri dengan hanya memerhati pimpinan PKR dan DAP terkontang-kanting seperti tikus membaiki labu sepertinya juga ibarat sedang melondehkan wajah sebenar pimpinan PKR dan DAP yang gagal dan tidak kompeten dalam mentadbir rakyat. 

"Apa lagi yang boleh diharapkan dengan kerajaan perpaduan yang tidak bersatu padu ini?

"Jika tidak, persoalan dan persepsi yang berlegar ada asasnya yang mana: Adakah UMNO menyertai Kerajaan Madani semata-mata untuk menyelamatkan diri dengan menggugurkan 47 kes yang membelenggu presiden dan menutupi segala skandal lain, dan dalam masa yang sama menggunakan kelebihan kuasa bagi memperkukuh kedudukan menuju PRU-16?" soalnya.

Beliau berkata, nampak dengan jelas wajah sebenar UMNO mahupun PH keseluruhannya di mana segala reformasi hanyalah retorik kosong. 

"Bahkan UMNO juga adalah sebahagian daripada kegagalan yang dihadap oleh kerajaan," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan