Berikut adalah kenyataan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan pada 25 Jun 2026 berhubung tindakan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi keluar parti:
Saya sukar untuk memahami secara rasional tindakan yang telah dibuat oleh Dr Puad menyalahkan pihak lain berhubung sebab beliau keluar daripada UMNO.
Saya tahu beliau mungkin berasa kecewa kerana kehendaknya agar anak beliau menjadi calon BN mengganti beliau di DUN Rengit, Batu Pahat tidak dapat dipenuhi.
Beberapa pihak yang tahu cerita sebenar telah memaklumkan kepada saya tentang hal ini dan tidak ada sebab pihak itu ingin mereka-reka cerita.
Dimaklumkan kepada saya bahawa anak beliau, seorang anak muda berumur 29 tahun. Saya difahamkan anak beliau dilantik pada tahun lepas untuk menjadi AJK Pemuda Bahagian Batu Pahat. (Bukan menang bertanding).
Saya setuju anak muda diberi peluang, tetapi tidak semesti anak beliau. Politik ini satu pertandingan maraton yang sepanjang 42.2 km, bukan secepat larian 100 meter.
Saudara Dr Puad, saya doakan agar anak saudara tabah dan setia berjuang dalam UMNO. Cuba bertanding jawatan lebih tinggi dalam UMNO. Mana tahu jika menang jawatan lebih tinggi, suatu masa nanti boleh ditimbangkan untuk menjadi calon.
Sdra Dr Puad, ramai tahu ini bukan kali pertama saudara berbuat sesuatu yang pelik sebelum pilihan raya. Apa pun, selamat berjuang, namun berjuanglah dengan tertib Bangsa Johor.
Saya mohon maaf terpaksa bercerita hal ini agar Bangsa Johor faham cerita sebenar.

0 Ulasan