KWSP umum dividen 5.5 peratus skim konvensional, 5.4 peratus skim syariah

Berikut adalah kenyataan penuh KWSP mengenai dividen 2023 yang diumumkan hari ini:

KWASA DAMANSARA, 3 Mac 2024: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.50% untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion; dan 5.40% untuk Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan RM7.48 bilion; seterusnya membawa kepada keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2023 sebanyak RM57.81 bilion.

Untuk tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29% berbanding RM51.91 bilion pada 2022. 

Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.

Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada
keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen. 

Adalah menjadi amalan berhemat KWSP
membayar dividen hanya daripada pendapatan yang direalisasikan.

Aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1,135.82 bilion, naik 13% berbanding RM1,002.67 bilion pada tahun 2022. 

Peningkatan ini merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah
RM97.56 bilion, naik 15% berbanding RM84.78 bilion pada 2022.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “Alhamdulillah, KWSP berupaya
memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada tahun 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan. 

"Walaupun berhadapan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau,bserta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan. 

Ini memberikan pelabur institusi seperti KWSP untuk menguruskan kepelbagaian portfolionya secara aktif dan merebut peluang untuk meningkatkan pulangan.

“Selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi Simpanan Konvensional ialah
2.89% dan 2.51% untuk Simpanan Shariah pada asas tiga tahun (2021-2023), melebihi
sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya 2% dividen sebenar dalam tempoh yang sama. 

"Sebagai dana persaraan, adalah penting bagi KWSP untuk memberikan pulangan jangka panjang melebihi inflasi secara konsisten bagi memelihara dan meningkatkan nilai
simpanan ahli,” tambah beliau.




Kepelbagaian portfolio KWSP danbpengurusan dana yang aktif membolehkannya untuk mengisytiharkan kadar dividen yang lebih baik untuk 2023. 

Agihan dividen sebanyak RM57.81 bilion akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua- dua sektor formal dan informal.

Tahun 2023 menyaksikan prestasi bercampur-campur dalam pasaran ekuiti global, terutamanya antara ASEAN berbanding pasaran maju. 

Indeks penanda aras ekuiti pasaran maju menyaksikan pertumbuhan positif, walaupun Rizab Persekutuan AS telah menyebabkan
kenaikan kadar faedah dasar tertinggi sejak 1980-an untuk mengekang tekanan inflasi. 

Di peringkat serantau, indeks FBM KLCI dan ASEAN menyaksikan pertumbuhan negatif dengan FBM KLCI merosot 2.7%. 

Di sebalik penurunan ini, KWSP menguruskan portfolionya secara aktif untuk menjana pendapatan daripada ekuiti.

Tan Sri Ahmad Badri berkata ketidaktentuan pasaran pada 2023 menekankan kepentingan
KWSP mempunyai strategi pelaburan yang teguh dan pengurusan risiko yang berhemat.

Tambahnya, gandingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengurusan portfolio yang aktif
membolehkannya mencapai keputusan yang baik untuk 2023.

Selaras dengan SAA dan pengurusan risiko yang berhemat, keupayaan KWSP untuk
memberikan dividen yang stabil telah mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelabur institusi negara yang dipercayai. 

Ini juga telah menyumbang kepada tambahan nilai simpanan ahli, seterusnya menyediakan jaminan kewangan semasa tempoh persaraan ahli.

Prestasi portfolio pelaburan KWSP untuk tahun 2023 Kelas aset Ekuiti menyumbang RM39.05 bilion selepas turun nilai kos bersih, sekaligus menyumbang 58% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP dengan ROI sebanyak 8.68%. 

Peningkatan pendapatan ini berbanding RM27.12 bilion pada 2022, sebahagian
besarnya disumbangkan oleh keuntungan modal yang lebih tinggi berikutan keadaan pasaran yang lebih baik. 

Penurunan nilai kos ekuiti tersenarai untuk 2023 adalah rendah pada RM0.40 bilion, berbanding RM3.43 bilion pada 2022. 

Pelaburan Ekuiti Persendirian telah menjana ROI sebanyak 9.69%.

Instrumen Pendapatan Tetap, sebahagian besarnya Sekuriti Kerajaan Malaysia, terus
menjadi asas dalam mengekalkan pulangan pelaburan yang stabil. 

Kelas aset ini menyumbang RM19.74 bilion, atau 30% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP, menghasilkan ROI sebanyak 4.41%. 

Pendapatan yang lebih tinggi ini berbanding RM18.15 bilion yang dicatatkan pada 2022, adalah sejajar dengan saiz aset yang semakin besar dan disumbangkan terutamanya oleh faedah dan keuntungan masing-masing daripada bon dan sukuk.

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM6.03 bilion, 8% atau RM0.43 bilion lebih tinggi berbanding pendapatan 2022 sebanyak RM5.60 bilion, mencatatkan ROI sebanyak 5.04%. 

Pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang pula mencecah RM2.17 bilion, lebih dua kali ganda daripada pendapatan yang dijana pada 2022, disebabkan oleh baki pasaran wang yang lebih tinggi dan keuntungan pertukaran asing seterusnya memberikan ROI sebanyak 4.93%.

Mengikut pecahan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 46% daripada aset pelaburan, manakala Ekuiti terdiri daripada 42%. 

Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing membentuk 7% dan 5% daripada aset KWSP.

Sehingga Disember 2023, aset pelaburan KWSP telah mencecah RM1,135.82 bilion, di mana 62% daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik. 

Bagi 2023, pelaburan domestik menjana RM31.71 bilion, atau 47% daripada jumlah pendapatan pelaburan, yang memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP. 

Pelaburan asing menjana RM35.28 bilion, atau 53%, daripada jumlah pendapatan pelaburan yang dicatatkan.

Sebanyak RM58.97 bilion daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan adalah
dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM8.02 bilion untuk Simpanan Shariah. 

Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan Konvensional.

Pelaburan dalam pasaran domestik kekal tinggi KWSP kekal sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion pada Disember 2023, berbanding RM643.38 bilion pada 2022. 

Pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah melebihi 80% daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023. 




Sehingga Disember 2023, KWSP memegang lebih kurang 28% daripada lebihan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan lebih kurang 12% daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia.

Penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23% untuk saham FBM100, dan 31% untuk saham FBMKLCI. 

Penyertaan ini termasuk dagangan oleh pengurus dana luar domestik, yang telah menerima lebih RM4 bilion suntikan untuk portfolio ekuiti domestik sejak lima tahun lalu. 

Jumlah suntikan lebih RM3 bilion kepada pengurus pendapatan tetap luaran telah menjadikan jumlah suntikan kepada pengurus dana Malaysia kepada lebih RM7 bilion. 

Suntikan ini adalah sebahagian daripada usaha diversifikasi jangka panjang KWSP serta untuk merangsang pasaran modal domestik dan industri pengurusan aset.

Tan Sri Ahmad Badri berkata, “Penyertaan aktif dalam pasaran ekuiti domestik adalah penting dalam misi KWSP untuk mencipta nilai jangka panjang untuk ahli. 

"KWSP akan terus meningkatkan peruntukan kepada pengurus luaran, mempelbagaikan pelaburannya di samping menyokong pertumbuhan pengurus dana dalam negara.”

Pertumbuhan keahlian selaras perkembangan pasaran buruh domestik yang positif Prestasi 2023 KWSP melaporkan pertumbuhan positif dalam pendaftaran ahli yang selaras dengan pasaran buruh Malaysia yang semakin kukuh. 

Sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 460,447, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07
juta. 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50%
daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.

Pangkalan ahli aktif KWSP kekal konsisten pada 53%:47% daripada nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pada Disember 2023, yang diperoleh daripada nisbah ahli aktif sebanyak 8.52 juta berbanding jumlah ahli pada 16.07 juta.

Peningkatan positif dalam jumlah ahli aktif KWSP berbanding jumlah tenaga buruh Malaysia adalah hasil daripada inisiatif pelebaran liputan KWSP. 

Tan Sri Ahmad Badri berkata dengan
memperluaskan liputan KWSP, ia memastikan lebih ramai individu mempunyai akses kepada
perlindungan sosial yang sewajarnya dan jaminan pendapatan masa depan, sekaligus
memupuk keterangkuman kewangan dan daya tahan yang lebih baik di kalangan masyarakat.

Usaha berterusan KWSP dalam memperluaskan liputan KWSP juga dapat dilihat melalui pertumbuhan memberangsangkan program i-Saraan, yang membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan dengan KWSP demi masa depan persaraan mereka. 

Pada 2023, bilangan peserta i-Saraan mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak 31% kepada 382,983 daripada 291,743 pada 2022.

Secara keseluruhan, jumlah caruman diterima sepanjang 2023 meningkat kepada RM97.56
bilion, naik sebanyak 15% daripada 2022.

Kenaikan ini mencerminkan peningkatan dalam kapasiti kewangan ahli berikutan pemulihan pendapatan, pekerjaan dan ekonomi yang progresif. 

Ia juga mencerminkan tahap kepercayaan ahli yang berterusan terhadap KWSP untuk melindungi simpanan mereka.

Pendaftaran majikan baharu dicatatkan pada 82,005 pada akhir 2023, menjadikan jumlah
majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 606,187.




Tinjauan 2024

Di dalam laporannya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengunjurkan bahawa pertumbuhan global adalah pada 3.1% pada 2024, di bawah sejarah purata tahunanbsebanyak 3.8%. Bank pusat utama dijangka menurunkan kadar dasar mereka selaras denganbpenurunan inflasi.

Bank Negara Malaysia telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi domestik pada 4% hinggab5%, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam permintaan dalam negeri dan pemulihan dalam permintaan luar. 

Pasaran kewangan global kekal berisiko kepada perkembangan geopolitik, terutamanya berkaitan konflik serantau yang berterusan.

Tan Sri Ahmad Badri berkata, “Terdapat pandangan berbeza terhadap prospek pertumbuhan global. 

"Sejak pandemik, dunia mengalami ketidakpastian selama beberapa tahun, dan
negara-negara telah mempamerkan daya tahan dan ketangkasan yang sebenar.

"Walaupun berhadapan dengan pasaran global yang mencabar, pendekatan pelaburan KWSP yang berdaya tahan dan fokus terhadap memberikan nilai jangka panjang seharusnya membolehkan ia untuk terus memberikan prestasi yang kukuh di samping dapat mengekalkan komitmen kepada ahlinya.”

Bermula Januari 2024, KWSP telah mengasingkan portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah berhubung dengan pelaburan patuh Syariah KWSP, bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan setiap portfolio mempunyai Alokasi Aset Strategik masing-masing. 

Langkah ini juga bagi memastikan aset di
bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional dapat dipelbagaikan dengan lebih baik merentasi kelas aset, pasaran, negara dan mata wang untuk memastikan pulangan yang mampan.




Keselamatan persaraan kekal menjadi keutamaan

Tahun 2024 dijangka menjadi tahun penting bagi KWSP berikutan pelancaran beberapa
inisiatif yang bertujuan untuk memenuhi keperluan ahli KWSP, selain memastikan ketahanan kewangan dan kesejahteraan persaraan mereka. 

Perubahan trend masa kini yang menjurus
kepada penglibatan dalam pekerjaan sektor tidak formal berbanding pekerjaan formal akan menjadi penggerak di sebalik pelaksanaan berterusan inisiatif strategik KWSP.

Untuk membantu ahli membina jaminan pendapatan masa hadapan, rangkaian produk dan perkhidmatan KWSP telah dipertingkatkan untuk disesuaikan dengan peringkat kehidupanbdan matlamat kewangan yang berbeza. 

Ini termasuk penambahbaikan program i-SaraanbKWSP di mana had insentif padanan maksimum Kerajaan untuk program i-Saraan KWSP telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 setahun bagi menggalakkan ahli terus menyimpan untuk persaraan.

Selain meningkatkan simpanan persaraan, i-Lindung Fasa 2 KWSP telah dilancarkan pada
Februari 2024 untuk membolehkan ahli menggunakan dana dalam Akaun 2 mereka untuk membeli produk insurans dan takaful yang terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakitbkritikal untuk ahli keluarga terdekat mereka. 

Ini menandakan satu kemajuan penting dalam
evolusi platform i-Lindung dalam menyepadukan produk perlindungan jangka panjang untuk ahli KWSP dan orang tersayang.

Pada masa yang sama, Program Outreach KWSP telah mencatatkan pertumbuhan yang
positif dalam usaha mempromosikan caruman sukarela untuk membina simpanan persaraan ahli. 

Pada 2023, jumlah ahli yang membuat caruman sukarela meningkat 17% kepada
905,923 pada 2023, berbanding 772,687 pada 2022.

Tan Sri Ahmad Badri berkata KWSP akan terus menyokong pelaksanaan inisiatif yang
bertujuan untuk menggalakkan pengumpulan dan mengukuhkan pendapatan persaraan ahli,
dengan tujuan untuk membantu ahli KWSP dan ahli masa depan mencapai persaraan yang bermaruah.

Pengkreditan dividen untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai pada hari Ahad, 3 Mac 2024. 

Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata mereka daripada Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
3 Mac 2024





Catat Ulasan

0 Ulasan