Himpunan Kibar Jalur Gemilang disiasat sebab tak maklum polis

 

Gambar: Media sosial

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris hari ini berhubung isu Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong Teluk Intan baru-baru ini:

Pada 27 Oktober 2024 lebih kurang pukul 10.15 pagi, pihak polis telah mengeluarkan siaran media berkaitan perhimpunan di tempat awam tanpa pemakluman kepada pihak polis di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Pada 26 Oktober 2024 lebih kurang pukul 6.00 petang, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah menerima aduan daripada seorang pegawai rendah polis yang bertugas jaga aman di Menara Condong, Teluk Intan, Perak, mendapati lebih kurang 300 hingga 400 orang sedang berkumpul di hadapan Menara Condong, Teluk Intan, Perak. 

Turut kelihatan seorang individu sedang memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan kumpulan tersebut.

Perhimpunan tersebut diadakan oleh gabungan NGO-NGO Teluk Intan sempena himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong, Teluk Intan. 

Hasil siasatan awal mendapati individu yang memberi ucapan tersebut adalah Pesuruhjaya PAS Perak. 

Seramai lebih kurang 400 orang yang hadir terdiri daripada pimpinan PAS Perak, PAS Kawasan Teluk Intan, NGO-NGO dan penduduk setempat. 

Sebanyak lebih kurang 400 bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan oleh peserta yang hadir di sekeliling dataran Menara Condong, Teluk Intan dengan diiringi lagu-lagu patriotik.

Hasil semakan mendapati perhimpunan tersebut tidak menghantar pemakluman kepada pihak polis bagi mengadakan perhimpunan tersebut. 

Berdasarkan kesalahan tersebut, ia disiasat di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun dan berucap di tempat awam tanpa pemakluman kepada pihak polis, bukannya atas kesalahan kibar bendera Malaysia di tempat awam. 

Sehingga kini, pihak polis telah menerima lapan laporan berhubung perhimpunan tersebut.

Pada 27 Oktober 2024, pihak polis telah memperoleh perintah untuk menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya. 

Pada 28 Oktober 2024 lebih kurang pukul 10.00 pagi, lima individu daripada pihak penganjur terdiri daripada tiga lelaki Melayu daripada sebuah parti politik dan dua lelaki Melayu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dirakam percakapan di Pejabat Jenayah IPD Hilir Perak.

Kertas siasatan telah lengkap dan akan dihantar ke Bahagian Perundangan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk nasihat sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini sehingga mencetuskan kegusaran awam. 

Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar mendapatkan sumber berita dan maklumat sahih daripada pihak berkuasa serta tidak terus mempercayai maklumat yang diperolehi dalam media sosial.


JIWA MERDEKA


Catat Ulasan

0 Ulasan