Insiden mengibarkan bendera China pada perarakan Sambutan Guan Gong di Menara Condong Teluk Intan baru-baru ini. |
Sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah proaktif dan tegas untuk memastikan tindakan 'meminta maaf' yang dilihat untuk menyelamatkan diri tidak berulang seolah-olah ia kini sudah menjadi alat gurauan pihak-pihak yang cetek ilmu patriotik dan kaum.
Naib Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Khairul Walid Mohamed mendapati pelbagai insiden memalukan dan tidak patriotik terhadap Malaysia sebagai tanah air sendiri serta orang Melayu kerap berlaku dan apabila rakyat menyerang.
Namun, menurut beliau, pihak terbabit hanya tampil meminta maaf tanpa dikenakan sebarang tindakan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan seiring undang-undang sedia ada.
"Adakah ia semudah itu setelah mengguriskan hati rakyat Malaysia terutama orang Melayu?" soalnya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairul Walid mengulas mengenai kejadian yang menimbulkan rasa tidak puas hati majoriti rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu iaitu insiden mengibarkan bendera China di Menara Condong Teluk Intan, Perak dan sebelum itu, di sebuah sekolah di Pulau Pinang.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tidak terdetik rasa sakit dalam hati apabila bendera negara China dikibarkan sesuka hati walhal ia tidak mempunyai asbab untuk dikibarkan di negara ini.
"Untuk apa ia dikibarkan sesuka hati seolah-olah mahu mengagung-agungkan sesebuah negara itu sedangkan kita tanpa berbilang bangsa sememangnya adalah rakyat Malaysia maka sudah pastinya kedaulatan Malaysia wajib dipertahankan dan diagungkan.
"Sikap yang dipamerkan pihak tidak bertanggungjawab itu perlu ditangani segera supaya ia tidak meracuni generasi muda hingga boleh memudarkan semangat patriotisme sebagai anak Malaysia," jelasnya.
Khairul Walid turut menyelar sikap segelintir pihak yang cetek ilmu cuba membuat persamaan dengan tindakan mengibarkan bendera Palestin sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai dangkal dan umpama menegak benang yang basah.
"Kibarnya bendera Palestin dilakukan kerana satu dunia mengetahui kekejaman dan penindasan oleh tentera Zionis kerana melakukan pembunuhan sesuka hati ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.
"Penjajah Israel sudah terang-terangnya melakukan jenayah perang malah mendapat tentangan dan bantahan pelbagai negara di dunia termasuk yang disuarakan di Majlis Keselamatan PBB. Sudah pastinya ia berkaitan kejahatan penjajah Israel.
"Maka sudah pastinya ia perkara berbeza mengenai keprihatinan ke atas mangsa jenayah perang dan kedaulatan negara Malaysia," katanya.
0 Ulasan