Kerajaan Madani bersetuju memberikan tol percuma pada 29 dan 30 Oktober ini bagi membolehkan pengguna lebuh raya berbilang kaum terutamanya masyarakat India beragama Hindu untuk menyambut perayaan Hari Deepavali 2024 dalam suasana gembira, harmoni dan saling hormat-menghormati.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 29 Oktober (Selasa) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam, 30 Oktober (Rabu).
Menurut beliau, kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
"Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor.
"Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Semoga pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
0 Ulasan