Wee Ka Siong |
Berikut adalah hantaran Facebook Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini:
Saya tunjukkan bukti bahawa Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli telah mengumumkan kos keseluruhan pembangunan PADU adalah sebanyak RM85 juta, atau angka tepatnya, RM85.27 juta.
Pada 1 Julai 2024, terdapat jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan nombor 20 yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff (PN-PAS).
Lazimnya, soalan-soalan lisan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat hanya dijawab oleh Menteri atau Timbalan Menteri di Dewan Rakyat setakat soalan nombor 10 - 15 sahaja, kerana Dewan akan disambung dengan urusan-urusan lain seperti perbahasan usul dan lain-lain.
Oleh itu, soalan-soalan yang tidak sempat di jawab secara lisan oleh Menteri atau Timbalan Menteri, setiap kementerian akan memberikan jawapan secara bertulis. Sebab itulah bagi soalan nombor 20 ini contohnya, jawapan diberikan secara bertulis.
Dalam soalan asal bahagian (b), YB Dato’ Hajah Siti Zailah bertanya tentang kos pembangunan PADU dan jawapan yang diterima ialah RM85.27 juta.
Pada 11 Julai 2024, soalan lisan nombor 53 dari Ahli Parlimen Bakri, YB Tan Hong Pin (PH-DAP) yang secara langsung bertanya tentang kos pelaksanaan PADU. Sekali lagi, jawapan yang sama diterima ialah RM85.27 juta.
Wahai YB Rafizi yang bijaksana, sudah terang lagi bersuluh bahawa angka RM85.27 juta sebagai kos pembangunan PADU datangnya daripada kamu sendiri dan kini tercatat sebagai Penyata Rasmi!
Setelah 4 bulan telah berlalu, kenapa kamu tidak membuat penerangan Menteri untuk membetulkan angka RM85.27 juta tersebut, jika kamu merasakan angka yang telah diberikan kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Bakri itu tidak betul?
Apa yang lebih tak masuk akal ialah Rafizi menuduh saya membuat kenyataan tidak benar apabila menggunakan angka RM85.27 juta sebagai kos pembangunan PADU.
Adoi... Kamu yang jawab secara bertulis sebanyak 2 kali mengulangi angka RM85.27 juta, akhirnya Wee Ka Siong pula dipersalahkan?
Sekarang nak salahkan pegawai pula? Kamu sebagai Menteri tak semak dan teliti dalam kerja ke? Kenapa dengan mudah kamu salahkan orang lain? Selepas ini, nak salahkan media pula sebab nyatakan angka RM85.27 juta? Suara Keadilan pun melaporkan perkara sama, adakah Rafizi akan salahkan mereka juga?
Kesimpulannya;
Ahli Parlimen tanya, kamu jawab.
Jawapan kamu terpampang dalam Penyata Rasmi.
Media ulang jawapan kamu.
Saya ulang jawapan kamu.
Tiba-tiba saya dipersalahkan?
Jangan cari helah. Kalau dah silap mengaku sajalah. Takkan jatuh pun status jawatan Menteri kamu. Saya tidak hairan jika Rafizi menganggap dirinya sebagai seorang insan yang terpaling cerdik di dunia, tetapi janganlah menganggap rakyat termasuk saya ini BODOH?
0 Ulasan