Persoalan melibatkan titah addendum berkaitan perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih lagi ding-dong ke sana ke mari.
Setakat ini, sudah empat kali perkara itu disoal di Dewan Rakyat, namun belum dijawab dengan konkrit oleh kerajaan.
Yang terkini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika diasak oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam hanya mengulangi keputusan mahkamah yang menyatakan bahawa titah addendum itu hanya khabar angin.
Pelik juga sebab 'khabar angin' itu dibawa oleh sekutu-sekutu Saifuddin iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Semakin jelas kelihatan, Pakatan Harapan (PH) kurang selesa setiap kali isu titah addendum Najib dibangkitkan lebih-lebih lagi di Dewan Rakyat.
Apa yang mereka takut sangat dengan Najib? Beliau bukan lagi Presiden UMNO dan tidak lagi mempunyai sebarang jawatan dalam parti.
Lagi pun, Najib bukan meminta dibebaskan serta-merta daripada hukuman penjara yang dihadapinya selepas disabitkan kesalahan dalam kes SRC International.
Kalau Najib menjalani perintah tahanan di rumah pun, beliau tidak bebas sepenuhnya dan sentiasa tertakluk dengan peraturan dan kawalan yang ketat.
Mungkin PH masih belum lupa penangan yang diberikan Bossku sehingga menyebabkan mereka kalah besar pada PRN Melaka dan PRN Johor dahulu.
Sepatutnya tidak perlu ada kebimbangan seperti itu kerana PH juga akan beruntung apabila UMNO kembali kuat menjelang PRU16. Maklumlah sekarang dah berkawan baik.
Sifirnya mudah sahaja. UMNO yang kuat akan memperkukuhkan lagi peluang Kerajaan Perpaduan untuk kembali berkuasa selepas PRU16.
PH sepatutnya melihat Najib sebagai sumber kekuatan bagi UMNO untuk bangkit kembali memandangkan pemimpin-pemimpin UMNO sedia ada gagal berbuat demikian pada PRU15 dan enam PRN.
Kegagalan Kerajaan Perpaduan bersikap adil terhadap Bossku akan menyebabkan penyokong tegarnya merajuk sekali lagi pada PRU16 yang dijangka tiba kira-kira tiga tahun lagi.
Jika dulu ramai penyokong Bossku yang merajuk tidak keluar mengundi pada enam PRN, tidak mustahil mereka sekali lagi akan bangkit memprotes pada PRU16.
0 Ulasan