Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mendakwa, nasib orang Melayu di bandar berisiko menjadi seperti abu di atas tunggul sekiranya Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) diluluskan.
Beliau berkata, akta baharu yang tidak memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik hartanah untuk pembangunan semula dilihat bertentangan dengan undang-undang sedia ada dan berpotensi menyingkirkan masyarakat Melayu bandar secara halus.
“Kita pun tertanya-tanya apakah ulasan yang diberi oleh Jabatan Peguam Negara dan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG)? Sebab kalau kita lihat, hari ini memang sudah ada undang-undang sedia ada.
“Kita ada Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah, Akta Strata... bawah Seksyen 57 Akta Strata, kalau nak runtuhkan rumah flat, perlu mendapat persetujuan 100 peratus daripada penghuni.
“Tapi bagaimana dalam akta yang baharu ini tak perlu dapat 100 peratus? Kalau akta ini diluluskan, akan ada kontradik dengan akta sedia ada. Saya pun hairan macam mana Kabinet boleh luluskan paper Kabinet ini kerana bercanggah dengan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi hantaran video di media sosial, hari ini.
Sebelum ini, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju untuk menggubal akta berkenaan dengan matlamat memastikan hak pemilik asal terpelihara dan pembangunan bandar dilakukan secara mampan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, penggubalan itu bertujuan menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar selain memastikan pembangunan lebih terancang dan inklusif berlandaskan prinsip leave no one behind.
Namun, Noh menegaskan sejarah telah membuktikan bagaimana selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan ketika itu menggalakkan orang Melayu dan India untuk menetap di bandar, tetapi kebanyakannya hanya mampu mendiami kawasan setinggan.
Apabila kawasan tersebut dimajukan, kerajaan menyediakan rumah flat dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan mereka terus memiliki kediaman dalam bandar.
“Hari ini, apakah perancangan KPKT? Saya lihat, mungkin dengan nasihat-nasihat daripada penasihat dari Singapura, mereka sekarang ini nak membangunkan semula rumah-rumah flat dan rumah-rumah PPR.
“Kita tahu mereka yang duduk di PPR dan flat majoritinya Melayu, jadi ada yang cuba nak singkirkan mereka dari rumah dengan cara yang halus sekali,” dakwanya.
Menurutnya, dalam beberapa kes pembangunan semula sebelum ini, pemaju menawarkan rumah baharu berbentuk kondominium kepada penghuni asal, namun kos penyelenggaraan yang tinggi menimbulkan persoalan tentang kemampuan penduduk untuk menanggungnya.
“Bayaran penyelenggaraan untuk kondominium sekarang sekurang-kurangnya RM400 hingga RM500 sebulan atau lebih. Mampukah mereka ini bayar? Kalau tak bayar, (termaktub) bawah Akta Strata, rumah itu boleh disita oleh pihak pengurusan.
“Akhirnya, mereka terpaksa balik ke kampung. Ini bermakna dasar pecah dan perintah zaman British akan berulang kembali,” katanya.
0 Ulasan