Kenapa peguam 1MDB bantah permohonan Najib dapatkan minit mesyuarat?

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membantah permohonan peguam Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan minit mesyuarat syarikat tersebut bagi tempoh 2018 hingga 2024.  

Beliau berkata, hanya segelintir media melaporkan bantahan berkenaan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.  

“Itu sebab rakyat memang yakin dari awal lagi Najib sebenarnya sukar mendapatkan perbicaraan adil. Apa yang mahu disembunyikan?  

“Ada dua sebab peguam Najib mahu minit tersebut. Pertama, untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwa. Kedua, untuk mengetahui mengapa 1MDB membatalkan saman terhadap beberapa individu lain,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.  

Mohd. Puad turut mendakwa, situasi itu memperlihatkan bekas Perdana Menteri tersebut sebagai mangsa pertuduhan selektif apabila peguam 1MDB menyatakan bahawa syarikat itu berhak memilih individu yang mahu didakwa.  

“Penjelasan itu menambahkan lagi kesangsian rakyat. Mana mungkin 1MDB bersendirian. Apakah 1MDB terikat kepada arahan pihak tertentu?” soalnya.  

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan Najib yang memohon dokumen berkaitan mesyuarat dalaman 1MDB, termasuk minit mesyuarat bagi tempoh enam tahun terakhir, untuk digunakan dalam pembelaannya.  

Bagaimanapun, peguam yang mewakili 1MDB membantah permohonan tersebut dengan alasan dokumen berkenaan tidak relevan dengan pertuduhan yang sedang dihadapi Najib, selain menegaskan bahawa syarikat itu mempunyai hak untuk menentukan pihak yang mahu diambil tindakan.  

Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB yang dihadapi Najib di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadualkan bersambung Isnin ini.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan