Penganalisis politik, Lim Sian See mendakwa infografik yang disebarkan oleh penyokong Kerajaan Madani berhubung isu jual beli saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) penuh dengan fakta mengelirukan.
Beliau berkata, dakwaan bahawa KWSP memperoleh keuntungan RM5.20 bagi setiap saham MAHB yang dijual pada 2023 adalah tidak tepat kerana keuntungan sebenar hanyalah 62.5 sen setiap saham.
“Penjualan 163.3 juta saham MAHB oleh KWSP pada tahun lalu hanya menjana keuntungan sebanyak RM102 juta, yang bersamaan dengan 0.16 peratus daripada jumlah pendapatan KWSP sebanyak RM63.48 bilion pada 2023.
“Jumlah ini terlalu kecil dan langsung tidak memberi kesan kepada kadar dividen KWSP. Jadi, alasan bahawa KWSP perlu menjual saham MAHB untuk membayar dividen adalah tidak masuk akal,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Sian See menegaskan, tiada keperluan untuk KWSP menjual saham MAHB secara besar-besaran pada 2023, terutamanya ketika sektor penerbangan sedang pulih dengan pesat.
Katanya, KWSP hanya menjawab bahawa ia memperoleh keuntungan RM102 juta daripada penjualan saham MAHB pada 2023 tetapi tidak menjelaskan berapa kerugian yang ditanggung ketika membeli semula saham itu pada harga tinggi antara 2024 hingga 2025.
“Isu utama yang dipertikaikan ialah tindakan ‘jual murah, beli balik mahal’, tetapi Menteri Kewangan Kedua hanya menjawab bahagian ‘jual murah’ dan mengelak daripada menyentuh bahagian ‘beli balik mahal’,” katanya.
Tambah beliau, lebih mengejutkan apabila alasan yang diberikan ialah “jualan tahun 2023 dan pembelian semula tahun 2024 adalah dua pelaburan berbeza”, walaupun kedua-duanya melibatkan saham yang sama (MAHB), organisasi sama (KWSP) dan sumber dana sama iaitu simpanan usia tua rakyat dalam tempoh masa yang singkat.
0 Ulasan