DBKL rehatkan tiga penguat kuasa terlibat insiden abang belon

 


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merehatkan sementara tiga anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden dengan penjual belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman malam kelmarin.  

Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan siasatan dapat dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.  

"Keputusan ini juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Beliau berkata, DBKL memandang serius insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku warga kerja yang boleh menjejaskan integriti serta kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.  

"DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak. Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai," katanya.  

Dalam perkembangan berkaitan, Maimunah berkata, Pengarah Eksekutif (Sosioekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan telah mewakili DBKL menziarahi penjual belon, Muhamad Za’imuddin Azlan yang sedang menerima rawatan di hospital.  

"DBKL turut mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan beliau sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa," katanya.  

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan oleh pihak berwajib.  

Catat Ulasan

0 Ulasan