Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan kewujudan dwistandard dalam prosedur operasi standard (SOP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menangani isu penjaja kecil tidak berlesen dan pemindahan kuil haram.
Menurut beliau, DBKL sepatutnya mempunyai SOP “budi bicara” yang adil untuk semua pihak, bukan hanya kepada golongan tertentu sahaja.
“Mustahil DBKL tidak ada SOP ‘Budi Bicara’. Tetapi rupanya wujud juga budi bicara selektif. Budi bicara dua darjat.
“Peniaga air mineral, menjual belon dan jual goreng pisang dilayan kasar. Tetapi boleh pula dirundingi dengan baik dan berbudi bahasa untuk selesaikan isu pemindahan kuil di Jalan Masjid India. Siap diberi tanah ganti dan pampasan perpindahan,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Mohd Puad turut mempersoalkan mengapa pendekatan budi bicara tidak boleh digunakan secara menyeluruh bagi semua peniaga kecil, terutamanya mereka yang berniaga hanya setahun sekali sempena bulan Ramadan.
“Tidak bolehkah amalan ‘Budi Bicara’ ini dibuat secara blanket? Ini bukan berniaga 130 tahun secara haram. Ini berniaga sekali sahaja setahun di bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook hari ini, beliau mencadangkan agar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyelesaikan isu penjual belon dengan pendekatan menang-menang bagi kedua-dua pihak.
“Besok hari raya. Eloklah Menteri Wilayah selesaikan perselisihan faham Abang Belon dengan penguat kuasa DBKL secara baik. Tariklah laporan polis itu. Abang Belon turut cedera. Janganlah dipanjangkan sampai ke mahkamah.
“Contohilah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Dia bagi sumbangan ganti rugi kepada Pakcik Petai yang tidak dapat jual petainya. Pakcik Petai itu dan pegawai penguat kuasa MPPD dipertemukan dan bermaaf-maafan,” katanya.
Menurut Mohd Puad, DBKL perlu merangka SOP budi bicara yang lebih jelas dan menyeluruh bagi mengelakkan isu sama berulang setiap kali bazar Ramadan dan Aidilfitri berlangsung.
“Menteri carilah solusi komprehensif. Kena ada SOP ‘Budi Bicara’. Jangan berulang saban tahun bila ada bazar Ramadan dan Aidilfitri. Kita sambut hari raya dengan senyuman ‘win-win’,” katanya.
0 Ulasan