Kerajaan NS tidak terima pemecatan Tuanku Muhriz - MB

 

Berikut adalah kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 20 April 2026:

Saya ingin memaklumkan bahawa fungsi Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan berperanan sebagai badan penasihat atas perkara-perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal berkaitan pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat  seperti yang diperuntukkan dalam perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) (1959), termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang undang luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14 (3), UUTKNS.

Dalam hubungan ini, pemberhentian Dato’ Mubarak bin Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025. 

Selanjutnya, Sidang Khas DKU pada 17 April 2026 telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Dato’ Mubarak bin Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10, selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS di atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong.

Nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Dato’ Undang Luak di Negeri Sembilan, juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol Ke-14, Dato’ Mohammad Jan bin Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol.

Oleh yang demikian, tindakan Dato’ Mubarak bin Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April 2026 (Ahad) bertempat di Balai Undang Luak Sungai Ujong, tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12, UUTKNS.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan