Larry Sng cadang kaum Cina Sarawak diberi status bumiputera

 


Ahli Parlimen Julau, Larry Sng mencadangkan agar rakyat Sarawak berketurunan Cina yang telah lama menetap di negeri itu diberikan status bumiputera.  

Beliau yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri berikutan sumbangan besar masyarakat Cina kepada pembangunan ekonomi Sarawak serta salasilah keturunan mereka yang telah menetap di negeri itu sejak 150 tahun lalu.  

“Memandangkan keunikan Sarawak dari segi komposisi kaum, kepelbagaian agama dan autonomi dalam beberapa bidang sebagai sebuah wilayah, mungkin sudah tiba masanya pemimpin negeri mempertimbangkan pemberian status bumiputera kepada rakyat Sarawak berketurunan Cina.  

“Kebanyakan mereka lahir di negara ini serta telah berkhidmat, berjuang, berkorban dan memberi sumbangan besar kepada kemajuan ekonomi negeri,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Larry turut berkongsi mengenai seorang kakitangannya yang berasal dari Sarawak dan mempunyai darah campuran Cina serta Orang Ulu, yang akhirnya menerima status bumiputera selepas 48 tahun.  

Menurut beliau, pengiktirafan itu membawa makna besar kepada ramai rakyat Sarawak berdarah campuran yang sebelum ini tidak dapat mewarisi tanah adat daripada ibu mereka serta terlepas pelbagai manfaat dan peluang pekerjaan meskipun ramai dalam kalangan mereka hidup dalam kesusahan.  

“Dahulu, ada keluarga yang memilih untuk mendaftarkan anak mereka menggunakan nama ibu bagi mengatasi masalah ini, namun dalam masa sama mereka kehilangan warisan bapa. Saya bersyukur kerana perkara ini akhirnya dapat diselesaikan,” ujarnya.  

Larry turut menyatakan kebimbangannya terhadap situasi pendatang asing yang memperoleh keistimewaan secara mudah, berbanding masyarakat Cina Sarawak yang setia menetap di negeri itu.  

“Tidak seperti pendatang Syria yang berhijrah ke Sarawak, kemudian menjadi Melanau dalam masa yang singkat dan akhirnya berpindah selepas meraih kekayaan, masyarakat Cina di sini kekal setia serta menjadikan Sarawak sebagai tanah air mereka,” katanya.  

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan ini serta menggubal undang-undang bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh seluruh rakyat Sarawak.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan