Janganlah kecam bila penguat kuasa bertindak tegas terhadap peniaga tidak berlesen

 


Dalam media sosial, tular video yang memaparkan seorang penjual petai melemparkan petai di atas jalan setelah ditegur oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Selain itu, seorang penjual air mineral dirakam 'mengamuk' apabila barangannya disita oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka.

Sememangnya, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu peniaga dan penjaja tanpa lesen sering menjadi perdebatan hangat. 

Setiap kali penguatkuasaan dilakukan, pasti ada segelintir pihak yang mengecam pegawai bertugas seolah-olah mereka bertindak kejam terhadap golongan peniaga kecil. 


Hakikatnya, penguatkuasaan ini bukan bertujuan menindas sesiapa, tetapi bagi memastikan keadilan kepada semua pihak, termasuk peniaga yang mematuhi undang-undang.  

Undang-undang perlu dihormati oleh semua, termasuk peniaga kecil. Setiap perniagaan, tidak kira kecil atau besar, harus mendapatkan lesen bagi memastikan operasi mereka tidak mengganggu lalu lintas, kebersihan dan keselamatan awam. 

PBT bukan bertindak sesuka hati, tetapi menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keselesaan dan kesejahteraan bandar.  

Masyarakat perlu memahami bahawa tindakan penguatkuasaan bukan bertujuan menyusahkan sesiapa. Sebaliknya, ia memastikan persaingan perniagaan yang adil dan mengelakkan ketidaktentuan dalam sektor ekonomi kecil. 


Jika penjaja tanpa lesen dibiarkan berleluasa, peniaga yang membayar sewa kedai dan cukai akan mengalami kerugian. Ini juga boleh mencetuskan masalah lain seperti kesesakan lalu lintas, gangguan kepada penduduk sekitar serta risiko kebersihan makanan yang tidak terjamin.  

Daripada menyalahkan penguat kuasa, peniaga yang ingin berniaga harus mengambil langkah yang betul dengan mendapatkan lesen sebelum memulakan operasi. 

Ini bukan sahaja mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan tetapi juga memberikan jaminan perlindungan terhadap perniagaan mereka sendiri.  

PBT akan sentiasa memastikan tindakan mereka selari dengan peraturan yang ditetapkan. Masyarakat pula harus berhenti mengecam penguat kuasa yang hanya menjalankan tugas. 

Jika kita mahukan persekitaran yang tersusun dan adil untuk semua, undang-undang perlu dipatuhi oleh semua pihak tanpa kompromi.


BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan