![]() |
Gambar hiasan: Pexels / Jeffry S.S. |
Sebanyak 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan membatalkan pembelian pesawat daripada syarikat Boeing yang didakwa terlibat secara langsung dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Dalam kenyataan bersama, mereka menyatakan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan Malaysia melalui syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines, untuk memperoleh pesawat daripada syarikat tersebut.
"Adalah fakta yang diketahui umum bahawa Boeing terlibat secara langsung dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang sedang berlaku.
"Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), dalam kenyataannya pada 20 Jun 2024, secara jelas menamakan Boeing sebagai salah sebuah syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel," menurut kenyataan itu kelmarin.
Menurut semua NGO berkenaan, langkah kerajaan menandatangani perjanjian dengan Boeing bercanggah dengan pendirian Malaysia yang selama ini lantang menyokong hak rakyat Palestin serta mengutuk keganasan Israel.
"Malaysia tidak boleh mendakwa berdiri bersama Palestin sambil mengaut keuntungan daripada syarikat yang membekalkan senjata kepada penindas mereka. Kepentingan ekonomi tidak boleh mengatasi hak asasi manusia," tegas mereka.
Mereka berkata, keputusan itu bukan sahaja menggugat kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa, malah dilihat sebagai satu pengkhianatan terhadap solidariti yang sering dilaungkan negara terhadap Palestin.
"Dengan memilih berurus niaga dengan Boeing, Malaysia secara tidak langsung mensubsidi syarikat yang mengaut keuntungan daripada apartheid, pembunuhan beramai-ramai, dan jenayah perang. Tindakan ini tidak boleh dipertahankan dari sudut moral," katanya.
Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan agar segera membatalkan pembelian pesawat tersebut serta menghentikan semua urusan dengan Boeing sehingga syarikat itu menghentikan bekalan senjata kepada Israel.
"Jika Malaysia benar-benar komited terhadap keadilan untuk Palestin, dasar ekonominya mesti selari dengan retorik politiknya. Tidak boleh wujud urusan biasa dengan syarikat yang menyemarakkan pembunuhan beramai-ramai," tegas mereka.
Antara NGO yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah BDS Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin, Palestine Centre of Excellence (PACE), Muslim Care Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Cakna Palestin, Pertubuhan Intelektual Perlis (PIP), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Gegar Amerika, Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN), Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA), Citizens International, Viva Palestina Malaysia, MAPIM, JUST, HALUAN, Persatuan Akademia IKRAM Malaysia, SEJAGAT, Persatuan Ulamak Malaysia, Cakna Palestina, Palestine Solidarity - Penang, Muslim Volunteer Malaysia, dan Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Se-Malaysia.
0 Ulasan