PDRM digesa ambil tindakan lelaki maki dan ugut jurujual keturunan Dayak

 

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang memaki hamun serta mengugut mahu menggari seorang jurujual berketurunan Dayak dalam satu insiden di Central i-City, Shah Alam baru-baru ini.  

Beliau juga kesal jurujual wanita itu menerima layanan buruk sedemikian hanya kerana bertanya sama ada pelanggan terbabit mempunyai duit syiling 50 sen.

“Saya ingin menyatakan pendirian tegas Kementerian Perpaduan Negara berhubung dengan insiden yang berlaku di Central i-City Shah Alam, di mana seorang jurujual berketurunan Dayak telah dimaki dengan kata-kata kesat serta diugut untuk digari hanya kerana syiling 50 sen.  

“Tindakan tersebut jelas menunjukkan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang kita junjung,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Menurut Aaron, lebih mendukacitakan apabila insiden itu turut melibatkan kata-kata berbaur perkauman yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.  

“Setiap individu di negara ini berhak untuk dihormati tanpa mengira latar belakang etnik, agama, atau status sosial mereka.  

“Kementerian Perpaduan Negara tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini,” tegasnya.  

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap individu terbabit bagi memastikan isu perkauman tidak terus berleluasa.  

“Tindakan yang bersifat perkauman dan tidak bertamadun seperti ini harus ditangani dengan serius, dan saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku.  

“Saya juga ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar terus menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah lama kita bina.  

“Setiap individu mempunyai peranan penting dalam memastikan negara ini terus maju dengan penuh kasih sayang, hormat-menghormati dan saling memahami antara satu sama lain,” katanya.

BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan