Segera siasat pertubuhan haram sebar ideologi komunisme di Malaysia

 


Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mahu pihak berkuasa menyiasat sebuah pertubuhan yang didakwa menyokong penyatuan China dan Taiwan, selain mempersoalkan sama ada kumpulan itu cuba membawa masuk ideologi komunisme ke negara ini.  

Bekas Menteri Luar itu berkata, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi selepas menerima rakaman video mengenai kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Persatuan Promosi.  

“Dalam klip video berdurasi dua minit 57 saat yang saya terima, dinyatakan bahawa pertubuhan ini tidak berdaftar dan dipercayai mempromosikan unsur-unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam.  

Beliau turut mendakwa ada usaha tersusun untuk menyebarkan ideologi itu secara halus, dengan merujuk beberapa kejadian yang menimbulkan kebimbangan.  

Sebagai contoh, Rais menyebut insiden di sebuah sekolah di Pulau Pinang di mana pelajar didakwa menyanyikan lagu patriotik luar negara yang dikatakan mengandungi unsur komunisme.  

Selain itu, beliau turut menyentuh isu pengibaran bendera China di negara ini sebelum ini yang turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.  

Sehubungan itu, Rais menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memastikan aktiviti pertubuhan berkenaan tidak menjejaskan ketenteraman negara.  

“Saya difahamkan bahawa media berbahasa Cina telah lama melaporkan tentang kegiatan kumpulan ini, namun tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa setakat ini.  

“Dikhuatiri persatuan tidak berdaftar ini mempunyai agenda tersembunyi yang boleh mempengaruhi masyarakat untuk menerima ideologi komunisme,” katanya.

BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan