Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing membantah keras dakwaan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai kewujuan persatuan yang mempromosi fahaman komunisme di negara ini.
Menurut beliau, dakwaan Rais dalam sidang media di Kuala Lumpur kelmarin adalah tidak berasaskan fakta dan boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat.
Kar Hing berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap sebuah organisasi sah tanpa melakukan semakan fakta terlebih dahulu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya ingin membantah keras kenyataan Tan Sri Rais Yatim yang dibuat dalam sidang medianya semalam, di mana beliau gagal melakukan semakan fakta sebelum membuat tuduhan terhadap sebuah organisasi yang sah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau menambah, Rais mendakwa bahawa sebuah pertubuhan yang disebut sebagai Malaysia One-China Peaceful Reunification Promotion Association atau Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia menyebarkan ideologi komunisme, namun dakwaan itu tidak tepat.
“Namun, nama sebenar pertubuhan yang dimaksudkan adalah Persatuan Pendukung Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang merupakan sebuah organisasi sah dan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.
Kar Hing menjelaskan bahawa pertubuhan berkenaan menghantar laporan tahunan mengikut undang-undang dan matlamat utamanya adalah memperkukuh hubungan persahabatan serta pertukaran budaya antara Malaysia dan China, sejajar dengan dasar “Satu China” yang menjadi pendirian konsisten kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu turut menyatakan kebimbangannya bahawa dakwaan Rais berpunca daripada sebuah video yang kesahihannya diragui.
“Saya berpendapat bahawa tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Rais Yatim adalah berpunca daripada sebuah video yang tidak dapat disahkan kesahihannya.
“Dalam keadaan tiada bukti kukuh, melemparkan tuduhan berat terhadap sebuah organisasi yang sah bukan sahaja boleh menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat, tetapi juga berpotensi merosakkan reputasi dan operasi persatuan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, tuduhan tanpa asas itu mengingatkan kepada era McCarthyism di Amerika Syarikat semasa Perang Dingin, di mana individu dan kumpulan tertentu ditekan hanya kerana dilabel dengan ideologi tertentu.
“Tindakan sebegini bercanggah dengan semangat demokrasi, kebebasan bersuara dan prinsip kedaulatan undang-undang yang sepatutnya kita junjung,” tegasnya.
Beliau menekankan bahawa hubungan Malaysia dan China telah lama terjalin dalam pelbagai aspek seperti perdagangan, pendidikan, teknologi, perubatan dan budaya.
Malah, katanya, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan banyak institusi di negara ini telah menjalin kerjasama jangka panjang dengan institusi di China, yang memberi manfaat kepada negara.
Sehubungan itu, Kar Hing mengingatkan pemimpin masyarakat supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dan kegusaran awam.
“Kita mesti berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak menimbulkan ketegangan dan kegusaran dalam masyarakat.
“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu ini, kita harus lebih menghargai keamanan dan keharmonian negara,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengamalkan sikap inklusif dan rasional dalam perbincangan awam bagi memastikan ia berlangsung dalam ruang yang sihat serta berasaskan fakta.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa kematangan demokrasi bergantung kepada sikap saling menghormati, kepatuhan kepada undang-undang dan keupayaan menolak retorik yang boleh mencetuskan ketakutan tidak berasas,” katanya.
0 Ulasan