PDRM siasat persatuan promosi fahaman komunisme

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang didakwa mempromosikan fahaman dan amalan komunisme di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan selepas tular klip video berdurasi dua minit 57 saat pada 24 Mac lalu yang mendakwa kewujudan pertubuhan dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina.

“Video yang dihuraikan dengan suara latar bahasa asing tersebut mendakwa bahawa pertubuhan terbabit mempunyai kecenderungan mempromosi fahaman dan amalan komunis di Malaysia.

“PDRM memandang serius dakwaan ini memandangkan sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis secara halus mahu pun terbuka adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Kelmarin, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam sidang media di Kuala Lumpur menggesa pihak berkuasa menyiasat sebuah pertubuhan yang didakwa menyokong penyatuan China dan Taiwan, selain mempersoalkan sama ada kumpulan itu cuba membawa masuk ideologi komunisme ke negara ini.  

Bekas Menteri Luar itu berkata, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi selepas menerima rakaman video mengenai kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Persatuan Promosi.  

Razarudin berkata, Malaysia secara tegas telah menolak ideologi komunisme sejak tahun 1948 dan sebarang bentuk promosi atau pemujaan terhadap fahaman tersebut boleh diklasifikasikan sebagai ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 41/43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap pertubuhan yang disebut serta dakwaan-dakwaan berkaitan aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol-simbol komunis dan unsur subversif.

“Sebarang cubaan untuk menggugat kedaulatan negara atau menyemai fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan akan ditangani dengan tegas berdasarkan lunas undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Razarudin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam serta menggugat keharmonian kaum.

“Masyarakat diseru menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan terus kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi serta tidak menyebarkan kandungan atau bahan yang belum disahkan kerana ia boleh mengundang salah faham dan mengeruhkan keadaan,” katanya.


BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan