Zaliha nafi kerajaan bayar pampasan RM2 juta kepada kuil

 

Gambar: FB Zaliha Mustafa

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menafikan dakwaan bahawa kerajaan telah memberikan pampasan sebanyak RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.  

Beliau menjelaskan, tuduhan yang tular di media sosial, termasuk hantaran oleh Firdaus Wong Wai Hung di Facebook, adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.  

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas. Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan. 

"Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Menurut Zaliha, keputusan yang dibuat adalah hasil rundingan harmoni antara semua pihak yang terlibat dan berpaksikan kepada penyelesaian menang-menang.  

“Yang paling utama, pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” katanya.  

Beliau turut menegaskan, kes itu tidak boleh dijadikan rujukan bagi kes lain pada masa akan datang kerana ia merupakan penyelesaian khusus yang dibuat dengan penuh kebijaksanaan serta mengikut lunas undang-undang.  

“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang. 

"Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak,” katanya.  

Zaliha menggesa semua pihak agar tidak terus memainkan isu berkenaan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.  

“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini. Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.


BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan