Sila dedahkan bukti saya terlibat rasuah - Armizan

 


Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial yang mengaitkannya dengan skandal rasuah berhubung mineral di Sabah, sambil mencabar pihak yang menuduhnya tampil dengan bukti kukuh.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, tuduhan itu berasaskan ‘mesej layang’ tanpa sumber jelas yang disebarkan melalui akaun media sosial palsu, termasuk oleh beberapa pemimpin politik tertentu.

"Saya meminta kedua-dua individu ini dan Ahmad Hassan (Mantan Ahli Parlimen Papar - Warisan) yang menyumbang kepada penularan 'mesej layang' agar membantu saya mencari sumber dakwaan tersebut. Sila bawa ‘wartawan siasatan (X7)’ tampil dan ‘Datuk Z’ keluar dari alam ghaib serta dedahkan segala bukti yang mereka ada, sekiranya watak-watak ini benar-benar wujud.

"Sekiranya Jeffery Nor Mohamed, Calvin Chong dan Ahmad tidak berjaya mencari mereka, saya cabar ketiga-tiganya membuat kenyataan susulan bahawa saya terlibat rasuah, say it out loud, tanpa ayat berlapik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Armizan, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menulis secara rasmi kepada ketiga-tiga individu itu bagi mendapatkan penjelasan sama ada tindakan mereka membawa maksud bahawa mereka bersetuju dengan tuduhan yang dibuat melalui mesej tersebut.

"Sebagai individu yang menggelar diri pemimpin, mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan dan tidak bermodalkan fitnah untuk mencipta persepsi politik. Ini lambang tahap integriti diri," tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas, malah jelas merupakan satu fitnah yang bertujuan merosakkan reputasi dirinya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibangkitkan dan ia merupakan satu fitnah. Saya berharap Jeffrey, Calvin, Ahmad dan sesiapa sahaja dapat membantu saya mencari pihak yang boleh tampil mengambil tanggungjawab untuk saya berdepan dengan mereka di mahkamah.

"Dengan adanya sumber itu, saya boleh memulakan tindakan saman fitnah dan mereka perlu mengemukakan segala bukti (sekiranya ada) bahawa tuduhan mereka benar. Jangan baling batu, sembunyi tangan. Berani tampilkan diri, ambil tanggungjawab terhadap dakwaan dan kita jumpa di mahkamah," katanya.

Mengulas dakwaan mengenai kehadirannya dalam satu mesyuarat di Ibu Pejabat PT Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei 2023, beliau menjelaskan bahawa ia adalah perjumpaan rasmi antara Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM), anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah, dengan PT Bayan yang merupakan syarikat senaraian awam serta pembayar cukai terbesar di Indonesia.

"Ia bukan perjumpaan dengan syarikat-syarikat kartel mineral yang tidak mempunyai sebarang 'track record'. Ia adalah misi meneliti cadangan pelaburan tulen dan berimpak tinggi sebagaimana kejayaan pelaburan mereka di Indonesia yang juga mengguna pakai ramai tenaga kerja profesional dari Malaysia.

"Kedua-dua gambar yang ditularkan secara jelas menunjukkan kehadiran pasukan pengurusan kedua-dua pihak, tidak timbul soal perjumpaan sulit seperti didakwa," jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa tuduhan tersebut dibuat berdasarkan maklumat tidak tepat dan mencerminkan tahap kompetensi serta integriti yang meragukan pihak yang menyebarkannya.

"Saya mengambil tanggungjawab atas setiap tindakan saya bersandarkan amanah yang diberikan, dan diharapkan semua pihak juga berpegang kepada prinsip yang sama.

"Sabah tidak boleh dibangunkan bermodalkan fitnah, tetapi atas idea bernas dan komitmen tinggi menggerakkan hala tuju pembangunan negeri. Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang bankrap idea dan hala tuju serta hanya cuba mendapat sokongan rakyat dengan sentimen dan persepsi yang berpaksikan fitnah dan cacian," katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak terjebak dengan politik fitnah dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Sabah dengan lebih berkesan.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan