Pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kecekapan menangkap suspek yang membuat ugutan bunuh terhadapnya melalui media sosial.
"Terima kasih PDRM di atas kecekapan menangkap suspek.
"Kita boleh berbeza pendapat dengan rasional dan fakta tetapi bukannya dengan membuat ugutan bunuh atau tindakan melampaui batasan undang-undang," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut pada 21 Mac lalu.
Menurut beliau, laporan diterima daripada seorang lelaki warga tempatan yang mendakwa menerima mesej ugutan bunuh daripada seorang individu di laman sosial Facebook.
"Pemilik akaun tersebut telah menghantar satu pesanan suara dengan kata-kata cacian dan ugutan bunuh sehingga menimbulkan ketakutan ke atas keselamatan diri pengadu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melakukan ugutan jenayah dan menakutkan secara jenayah menggunakan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi," katanya.
Susulan siasatan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kes itu di pekarangan Balai Polis Damansara pada 22 Mac kira-kira jam 1.30 petang.
Shahrulnizam berkata, telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk menghantar mesej ugutan turut dirampas, dan suspek kini dalam tahanan bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Shahiren Ibrahim di talian 019-5693864," katanya.
0 Ulasan