Hassan rayu PMX jangan roboh kuil atas tanah wakaf masjid

 


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak membenarkan kuil yang dibina atas tanah wakaf masjid di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dirobohkan.  

Dalam surat terbukanya hari ini, Hassan yang juga pemimpin PKR menegaskan bahawa penyelesaian isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman perlu dilakukan secara adil dan bijaksana berdasarkan prinsip Kerajaan Madani yang berteraskan keadilan dan ihsan.  

“Saya menyeru Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyelesaikan isu ini dengan adil dan bijaksana. Saya percaya YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim berkeupayaan melakukan itu,” katanya.  

Beliau turut mengingatkan mengenai Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini.  

“Masyarakat Hindu di Malaysia menerima kedudukan istimewa Islam di negara ini. Mereka hanya ingin secara aman mengamalkan agama mereka tanpa ganggu-gugat,” katanya.  

Menurut Hassan, kuil tersebut telah wujud lebih 100 tahun sejak zaman penjajahan Inggeris sebagai tempat ibadat kaum buruh India yang dibawa masuk oleh penjajah untuk bekerja di negara ini.  

“Kuil tersebut telah berperanan secara aman untuk kepentingan masyarakat Hindu di kawasan berkenaan bagi menjalani amalan agama mereka secara aman damai hinggalah sampai sekarang,” ujarnya.  

Justeru, beliau menyeru agar kerajaan mempertimbangkan dua cadangan sebagai penyelesaian.  

“Pertama, janganlah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu dirobohkan. Sebagai seorang Muslim, saya menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga seorang pemimpin Muslim yang dihormati dalam negeri dan di dunia antarabangsa, kita sama-sama tunjukkanlah budi dan adab seorang Muslim untuk menghormati hak rakyat beragama Hindu di Malaysia ini,” katanya.  

Cadangan kedua, katanya, adalah membina masjid baharu di lokasi lain yang bersebelahan atau berdekatan kuil tersebut agar kedua-dua rumah ibadat dapat kekal bersama tanpa perlu ada pihak yang kehilangan tempat ibadat mereka.  

“Jika jalan penyelesaian seperti ini dapat dicapai, maka banyak kebaikan dapat diperolehi. Antaranya, tiada hati dan perasaan mana-mana kaum dan agama terluka.  

“Selain itu, perpecahan kaum dan agama dapat dielakkan. Tidak kurang pentingnya, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, selaku Perdana Menteri Malaysia bagi semua rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama, dapat menunjukkan contoh sebagai pemimpin perpaduan yang adil dan penuh ihsan,” katanya.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan