Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa tiada keperluan untuk memperhangatkan sentimen agama dalam isu kuil Hindu yang dibina di atas tanah milik Jakel.
Beliau berkata, Islam adalah agama yang mengutamakan keharmonian dan menyelesaikan sebarang pertikaian melalui perundingan berdasarkan prinsip keadilan.
“Islam agama harmoni dan damai menyelesaikan apa sahaja pertikaian secara perundingan. Asasnya ialah berikan hak pada pihak yang berhak,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.
Menurut beliau, dalam isu ini, pemilik tanah berhak mendapatkan kembali tanahnya dan membina apa sahaja termasuk masjid, manakala kuil yang berada di lokasi tersebut boleh dipindahkan ke kawasan lain dengan jaminan pemilikan yang sah.
“Isunya ialah kuil telah dibina di tanah bukan miliknya. Tuan tanah berhak mendapatkan kembali hak miliknya dan membina apa sahaja di tanah miliknya termasuk masjid. Kuil dipindahkan ke tempat lain dengan diberikan pula peluang memiliki tanah. Ia kekal menjadi tempat ibadah cuma di tempat yang bersesuaian dengan pemilikan yang sah pula,” jelasnya.
Mohd Khairuddin turut mengemukakan pandangan ilmuwan Islam bagi menegaskan bahawa mana-mana tempat ibadah mesti dibina di atas tanah milik sendiri.
“Dalam Islam, tempat ibadah mesti dibina di atas tanah yang bukan milik orang lain. Kata Ibnu Hajar al-Asqalani:
قَالَ الْمَازِرِيّ : بِنَاءُ الْمَسْجِدِ فِي مِلْك الْمَرْء جَائِز بِالْإِجْمَاعِ . وَفِي غَيْرِ مِلْكِهِ مُمْتَنِع بِالْإِجْمَاعِ
‘Menurut al-Maziri, membina masjid di tanah milik individu harus dengan sepakat ulama Islam dan di tanah yang bukan miliknya hukumnya dilarang dengan sepakat ulama’,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar semua pihak kembali kepada asas pemilikan bagi memastikan penyelesaian yang adil tanpa mencetuskan ketegangan.
“Tiada sentimen agama yang perlu diperhangatkan. Kembali kepada kaedah dan asas pemilikan. Keharmonian lebih mahal untuk dipertahankan,” ujarnya.
Sebelum ini, isu pemindahan kuil berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi selepas pemilik tanah, Jakel, memutuskan untuk membina sebuah masjid di atas tanah yang telah diwakafkan.
Namun, terdapat tuntutan agar kuil yang berada di lokasi tersebut tidak dipindahkan, mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak.
0 Ulasan