Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Gemilang Negeri Sembilan meminta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) supaya bersikap lebih cakna dengan kesusahan rakyat terutamanya peniaga kecil yang mencari rezeki secara halal.
Menurutnya, ihsan dan budi bicara amat penting dalam menjalankan penguatkuasaan.
"Sekiranya lokasi perniagaan individu ini mengganggu lalu lintas atau menimbulkan isu keselamatan, seharusnya beliau diberikan cadangan lokasi alternatif yang sesuai, bukannya terus dihalang daripada mencari rezeki.
"Pendekatan sebegini lebih adil dan berperikemanusiaan, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar," katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Persatuan itu mengulas mengenai insiden melibatkan seorang penjual petai dan penguat kuasa MPPD yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Lelaki terbabit dilihat mencampakkan petai ke atas jalan setelah dihalang daripada berniaga di lokasi tersebut.
Persatuan tersebut menambah, pihaknya memahami kepentingan peraturan dan penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran bandar yang tersusun dan selamat.
Katanya lagi, Port Dickson baru sahaja menerima anugerah sebagai salah satu daripada 20 bandar paling bahagia di Malaysia.
"Justeru, kami berharap pendekatan yang lebih mesra rakyat dapat diterapkan dalam pengurusan penjaja kecil di daerah ini," jelasnya.
Persatuan itu juga bersedia untuk bertemu dengan Yang Dipertua MPPD bagi membincangkan isu ini serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk penjaja kecil di Port Dickson.
"Kami percaya bahawa keseimbangan antara peraturan dan kebajikan rakyat dapat dicapai melalui komunikasi yang baik dan penyelesaian yang berpihak kepada semua," katanya.
0 Ulasan