Agihan keuntungan TH 3.25 peratus, tertinggi sejak 2018

 


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, melibatkan jumlah RM2.92 bilion.

Kadar itu merupakan yang tertinggi sejak 2018 dan jumlah agihan pula lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM2.72 bilion, memanfaatkan lebih 9.5 juta pendeposit.

Jumlah zakat yang dbayar pula adalah RM99.35 juta iaitu pada kadar 2.5775 peratus.

Agihan keuntungan tertinggi sejak tujuh tahun lalu itu dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif tahun lalu, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad ini (23 Mac) menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Tahun lalu, TH merekodkan prestasi pelaburan yang baik dengan mencatatkan pulangan pendapatan 5.08 peratus sebelum pelunasan zakat, Bantuan Kewangan Haji dan kos operasi.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, TH mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM4.56 bilion, peningkatan 6.29 peratus berbanding RM4.29 bilion yang direkodkan pada 2023.

Jumlah aset di bawah pengurusan TH telah mencapai RM95.06 bilion, naik 3.77 peratus daripada RM91.61 bilion pada 2023 di mana peningkatan itu didorong oleh pendapatan dan nilai pelaburan yang lebih kukuh.

Dana pendeposit mencecah RM91.75 bilion pada penghujung 2024, meningkat berbanding RM89.01 bilion pada akhir 2023.

TH juga telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam di negara ini mengerjakan haji sejak penubuhan dan turut menanggung Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM2.8 bilion sejak diperkenalkan 2001.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan