Akmal sekolahkan Ambiga isu kuil dibina atas tanah wakaf masjid

 


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mengecam tindakan sekumpulan peguam yang diketuai oleh Datuk S. Ambiga kerana membuat tuntutan tidak masuk akal dalam isu kuil yang dibina di atas tanah milik Jakel yang telah diwakafkan untuk pembinaan masjid.  

Beliau menegaskan bahawa dalam mana-mana kes sekalipun, jika sesuatu rumah ibadat dibina di atas tanah milik pihak lain, maka ia tetap perlu dipindahkan.  

“Saya nak maklumkan pada Ambiga dan kawan-kawan peguam mereka dalam kes ini, jika ada masjid yang dibina di atas tanah orang lain sekalipun, ia perlu dipindahkan, sebab itu tanah bukan milik masjid,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini. 

Menurut Dr. Akmal, pihak Jakel telah bersikap bertolak ansur dalam perkara ini apabila berbincang selama lebih sedekad bagi mencari penyelesaian yang baik dan tidak bertindak mengusir secara serta-merta.  

“Tuan tanah punya baik lagi, 10 tahun berbincang untuk dapatkan penyelesaian, bukan beli hari ini esok suruh keluar,” katanya lagi.  

Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menawarkan cadangan tanah lain sebagai alternatif, namun pihak kuil masih enggan menerima penyelesaian tersebut.  

“Tambahan pula DBKL bagi lagi cadangan tanah lain untuk dipindahkan tapi kamu masih tak nak,” ujarnya.  

Justeru, beliau mempersoalkan rasional tuntutan yang dibuat oleh peguam yang mewakili pihak kuil yang seolah-olah mahu pemilik tanah mencari tanah lain bagi menggantikan tapak berkenaan.  

“Tiba-tiba, kamu pula minta tuan tanah cari tanah lain. Eh, ini peguam jenis apa yang menggunakan logik undang-undang begini?” soalnya.  

Dr. Akmal turut menyindir tindakan kumpulan peguam itu dengan mengajukan satu analogi mudah bagi menggambarkan betapa tidak logiknya tuntutan yang dibuat.  

“Saya nak minta peguam-peguam ini keluar dari rumah kamu yang sedia ada, sebab saya nak duduk di rumah kamu. Boleh ke?” katanya.  

Sebelum ini, isu kuil berkenaan mencetuskan kontroversi selepas pemilik tanah, Jakel, menyatakan bahawa tanah tersebut telah diwakafkan bagi pembinaan sebuah masjid. 

Namun, terdapat tuntutan agar kuil yang berada di atas tanah berkenaan tidak dipindahkan, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan