Sultan Selangor titah batal Rumah Terbuka Aidilfitri Madani

 

Gambar: Selangor Royal Office

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Kerajaan Negeri Selangor agar membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Selangor yang dijadualkan esok.

Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini berkata, titah baginda itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan tersebut, Anwar juga telah bersetuju dengan titah pembatalan oleh baginda.

"Sultan Selangor amat prihatin dan menghormati mangsa-mangsa dan keluarga yang sedang berdepan musibah susulan insiden di Putra Heights," jelas kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin juga telah menitahkan agar persiapan yang telah pun dibuat untuk majlis berkenaan khususnya makanan-makanan, disalurkan kepada pusat penempatan sementara (PPS), petugas keselamatan, anggota bomba, para sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah anak-anak yatim dan sekolah-sekolah yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.

Baginda turut menyarankan agar semua mangsa dan petugas diraikan dengan jamuan hari raya di PPS daripada makanan yang disalurkan itu.

"Semoga ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada mangsa dan para petugas yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan mereka.

"Baginda mendoakan agar urusan semua pihak terlibat dipermudahkan dan semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini," katanya.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan