Kecaman penguatkuasaan kebun durian haram serlah hipokrasi DAP

 


Tuduhan Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) merangkap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui kononnya kerajaan negeri Pahang melanggar perintah mahkamah dalam operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Sungai Klau, Raub membuktikan sikap hipokrit DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak bersandarkan fakta dan merupakan manipulasi politik semata-mata.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri yang menjalankan penguatkuasaan ke atas kebun durian haram tersebut adalah selaras dengan undang-undang dan tidak melanggar sebarang perintah mahkamah.

“Berdasarkan penjelasan rasmi Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, tiada sebarang pelanggaran perintah mahkamah berlaku. Permohonan semakan kehakiman oleh pihak yang meneroka tanah tersebut telah ditolak Mahkamah Tinggi Kuantan. 

"Malah, Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan penangguhan dengan menyatakan bahawa prosedur permohonan tidak mengikut peruntukan Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau menegaskan bahawa tanah yang diterokai secara haram adalah milik sah kerajaan negeri dan tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984.

“Cubaan untuk menggambarkan kononnya wujud perintah larangan terhadap penguatkuasaan adalah satu bentuk pembohongan terang-terangan yang mempermainkan sentimen rakyat dan memperlekeh integriti sistem kehakiman negara,” ujarnya.

Jasri yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang berkata, walaupun beliau wakil rakyat pembangkang, dalam isu ini, tindakan kerajaan negeri wajar disokong.

“Tindakan penguatkuasaan wajar disokong kerana ia selari dengan prinsip keadilan, kedaulatan tanah dan pemeliharaan alam sekitar yang perlu dijaga demi generasi akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan pendirian DAP yang didakwa bersikap bercanggah antara di peringkat negeri dan pusat.

“Yang lebih membingungkan ialah DAP — yang menjadi tunggak kepada Kerajaan PH-BN di Putrajaya — kini bersikap seperti pembangkang di negeri. 

"Jika DAP benar-benar tidak bersetuju dengan dasar kerajaan negeri yang dijalankan mengikut lunas undang-undang, maka mereka sewajarnya berani dan bermaruah untuk berundur daripada kerajaan, bukan menabur persepsi buruk demi kelangsungan politik sempit.”

Tambah beliau, DAP tidak boleh terus “bersandiwara menjadi jaguh rakyat di Raub” tetapi pada masa sama menjadi pendukung dasar kerajaan di Putrajaya.

“Sikap talam dua muka ini hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan secara keseluruhan,” katanya.

Jasri turut menyeru agar semua pihak tidak mudah terpengaruh dengan naratif berasaskan emosi atau tekanan politik.

“Pencerobohan tetap pencerobohan, biarpun dilabel atas nama mata pencarian. Undang-undang tidak boleh tunduk kepada sentimen politik,” tegasnya.

BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan