PRN Sabah peluang rakyat nilai semula kegagalan GRS

 


Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini membuka ruang besar kepada rakyat untuk menilai semula kegagalan pentadbiran terdahulu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran, kerajaan yang dibina atas dasar kompromi dan kepentingan peribadi akhirnya tumbang kerana hilang kepercayaan rakyat.

“Lebih besar daripada kegagalan pentadbiran itu ialah hakikat bahawa Ketua Menteri terdahulu, Datuk Seri Hajiji Noor, mencipta sejarah sebagai Ketua Menteri pertama Sabah yang disaman di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Suhaimi berkata, saman sivil bernilai RM1.4 bilion oleh Sabah Forestry Industries Sdn. Bhd. (SFI) bersama pihak pengurus penerimanya terhadap Kerajaan Negeri Sabah yang difailkan pada Mac 2025, menamakan Hajiji sebagai defendan utama.

Beliau menjelaskan, dalam saman itu SFI mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasa sebagai Ketua Menteri dengan campur tangan terhadap keputusan pembatalan konsesi balak syarikat tersebut sebelum mengagihkan semula kawasan berkenaan kepada pihak lain, tindakan yang didakwa menyebabkan kerugian besar serta menjejaskan reputasi syarikat itu.

“Persoalannya, bagaimana seorang bekas Ketua Menteri yang sedang berdepan saman sivil dan siasatan berkaitan salah guna kuasa boleh menuntut semula kepercayaan rakyat untuk memimpin Sabah?” soal beliau.

Tambahnya, rakyat Sabah tidak boleh kembali ke era kepimpinan yang menjadi liabiliti dari segi politik, undang-undang dan moral kepada negeri ini.

“Kerajaan GRS terdahulu bukan sahaja gagal mengangkat ekonomi dan infrastruktur negeri, malah menyeret maruah pentadbiran Sabah ke kancah kehinaan. 

"Ia adalah kerajaan yang sarat dengan liabiliti moral, liabiliti undang-undang dan liabiliti kepercayaan rakyat," katanya.

Beliau menegaskan, sudah tiba masanya rakyat memilih kepimpinan yang benar-benar berwibawa, berintegriti dan berpaksikan rakyat, bukannya kelompok elit yang menyalahgunakan amanah rakyat.

“Barisan Nasional (BN) berdiri teguh bersama rakyat Sabah untuk memulihkan semula maruah pentadbiran negeri agar Sabah tidak lagi dikenang kerana skandal, tetapi dihormati kerana kejujuran, kemajuan dan integriti kepimpinannya,” katanya.







Catat Ulasan

0 Ulasan