Wan Fayhsal tak gentar lawan tali barut dalam Bersatu

 


Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan beliau tidak gentar, sebaliknya akan menentang sebarang rancangan pihak yang digelar ‘tali barut’ yang didakwa sedang mengatur sesuatu terhadapnya dan rakan seperjuangan.

Beliau menyifatkan tindakan disiplin yang dikenakan sebagai tidak adil dan amat mengecewakan, namun menegaskan semangat perjuangannya tidak akan luntur.

“Kami tidak akan mengalah sama sekali dan akan bangkit menentang mereka yang cuba menjadi tali barut yang sedang mengatur sesuatu terhadap kami. 

"Kami juga tidak bersendirian, malah sebaik sahaja tindakan terhadap kami ini dilaporkan, ramai Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan menyatakan simpati dan sokongan terhadap kami,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berikrar untuk kekal istiqamah memperjuangkan matlamat parti bersama Datuk Wan Saiful Wan Jan walaupun berdepan tindakan disiplin.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau tetap teguh bersama perjuangan Bersatu yang turut dibinanya sejak awal penubuhan parti.

Katanya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bukan milik individu tetapi hasil pengorbanan semua ahli di setiap peringkat termasuk akar umbi.

“Parti ini tidak boleh digunakan untuk ditunggang oleh sesiapa sahaja untuk menyelamatkan diri ataupun ahli keluarga mereka.

“Kami mahu memastikan Bersatu ini diselamatkan dan dikembalikan kepada matlamat dan hala tuju yang sebenar iaitu perjuangan untuk menegakkan dan membela rakyat, bukannya dilibatkan dengan isu-isu berkaitan peribadi atau keluarga semata-mata,” katanya.

Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Wan Saiful daripada parti berkuat kuasa serta-merta, manakala Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama satu penggal.

Turut dipecat ialah beberapa ketua bahagian lain termasuk dari Ipoh Timor, Ampang, Pendang dan Hang Tuah Jaya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata mereka akan meneliti keputusan Lembaga Disiplin sebelum menentukan langkah seterusnya sama ada mahu mengemukakan rayuan atau sebaliknya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan